ARKIB : 08/01/2011
Oleh ABDUL
HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Pemerhati sukan bola sepak tanah air memberikan pelbagai reaksi berhubung
limpahan ganjaran buat pemain skuad negara yang menjulang Piala Suzuki AFF,
baru-baru ini, dengan ada yang menyifatkan mereka berhak menerimanya. Tidak
kurang yang menganggap ada bentuk imbuhan agak keterlaluan.
Mereka
berpendapat, memang masa yang tepat untuk memberikan habuan ribuan ringgit
kepada anak buah K. Rajagobal, tetapi tidak perlu sehingga melibatkan pemberian
berupa tanah atau rumah, mahupun pingat kebesaran.
Ia dikhuatiri
ada pemainnya yang masih berusia awal 20-an, terlalu mudah berpuas hati atau
terus hanyut dibuai kejayaan di peringkat Asia Tenggara itu.
Pemerhati bola
sepak ini turut mengingatkan skuad K. Rajagobal bahawa masih ada empat tahap
lebih tinggi yang perlu diburu selepas ini, Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala
Dunia.
Bagi mereka,
Piala Suzuki AFF hanyalah sebuah trofi yang akhirnya tidaklah sebesar mana,
selagi satu persatu daripada keempat-empat tahap berkenaan tidak dicapai,
sekali gus tidak mampu menandingi tanda aras tertinggi generasi sebelum mereka
yang pernah mara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.
Kata pengulas
sukan Astro Arena, Azlan Johar: "Ganjaran ini memang perlu, biarlah pemain
bola sepak negara kaya-raya hasil kejayaan di peringkat antarabangsa, walaupun
bukan Piala Dunia. Apa salahnya penat lelah mereka dibalas setelah berjaya
membuatkan rakyat kita bergembira sehingga seluruh negara diberi cuti?
"Dengan
ganjaran besar, maka bermulanya minat ibu bapa dalam menyemaikan anak-anak
mereka dengan bola sepak dan terus meyakinkan golongan ini bahawa sukan mampu
menjamin masa depan,''kata bekas pemain negara dan Selangor pada era 80-an
hingga 90-an ini.
Bagi legenda
bahagian tengah negara yang mara ke Olimpik 1980, Shukor Salleh, "ganjaran
buat mereka memang wajar kerana sudah lama kita tidak dapat kejayaan yang
sebesar itu. Walaupun sekadar di peringkat Asia Tenggara, ada bagusnya kejayaan
mereka dihargai dengan pelbagai bentuk termasuk tanah. Mungkin jika semata-mata
diberi wang, mudah dan cepat pula habis begitu sahaja tetapi dengan tanah atau
rumah, ada juga kenangan pada masa depan mereka.
"Zaman
sudah berubah walaupun ketika saya bermain dan layak ke Olimpik, kami cuma
dihadiahkan jam. Saya mengerti ketika itu penaja tidak seperti sekarang, malah
sokongan dan penghargaan kerajaan negeri tidak begitu kuat dan menggalakkan.
Bagi kami ketika itu, penghargaan dan ganjaran sebenarnya ialah apabila diberi
peluang menyarung jersi negara pun sudah memadai.
"Kami
tidak berkira sangat namun saya tidak mempertikaikan apa yang pemain sekarang
dapat. Apabila kami bermain untuk Malaysia di luar negara terasa macam menjadi
diplomat atau duta kerana membawa nama negara dan bermain demi semangat
kenegaraan," katanya.
Kata blogger
sukan terkenal yang juga bekas wartawan sukan sebuah tabloid berbahasa
Inggeris, Rizal Hashim, "sekadar menghargai kejayaan pasukan dengan wang
sudah memadai tetapi bukan sehingga mereka diberikan tanah atau rumah mahupun
bintang yang mungkin membawa sesuatu gelaran kebesaran. Kejayaan ini tidak
boleh dibandingkan dengan Piala Thomas (badminton) 1992 apabila ada pemain yang
dapat tanah kerana ia sudah bertaraf dunia.
"Bagi
bola sepak, kita menagih kejayaan yang lebih besar, di Asia, Olimpik dan Piala
Dunia dan sekiranya pasukan kita berjaya ke tahap itu, barulah ganjaran yang
selain wang itu boleh dipertimbangkan," katanya.
Bagi pengulas
sukan RTM yang terkenal dengan slogan, "Terima Kasih, Terima Kasih, Terima
Kasih" - Hafizal Hamad, "tidak kira apa juga bentuknya - wang, tanah
atau rumah, skuad juara Piala Suzuki AFF ini berhak menerimanya kerana sudah
memberikan segala-galanya untuk memastikan kejayaan yang sekian lama ditunggu-tunggu
rakyat Malaysia.
"Namun
jangan sesekali hanyut dengan kejayaan di peringkat Asia Tenggara. Ia masih
bukan penanda aras yang besar tetapi boleh dianggap macam batu loncatan untuk
kita mara sejauh Piala Asia, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Ayuh
kita mencontohi kejayaan konsisten Thailand sebelum ini dan kepada FAM
(Persatuan Bola Sepak Malaysia), pantaulah selalu skuad ini," katanya.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dKtUxAT1
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan