Jumaat, 18 Januari 2019

Kemenangan bola bakar semangat


ARKIB : 10/11/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
SEPANG - Langkah kanan skuad bola sepak negara yang menang 2-1 ke atas Krygyzstan di peringkat kumpulan pada Sukan Asia Guangzhou, kelmarin wajar menjadi pembakar semangat atlet negara yang lain.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Zolkples Embong, berkata, kemenangan itu juga boleh menjadi pendorong kejayaan meraih sembilan emas pada temasya tersebut, yang bermula Jumaat ini.

Menurutnya, kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal itu sepatutnya menjadi contoh kepada atlet lain.

Katanya, kemenangan pada aksi pertama amat penting, kerana skuad negara akan berdepan Jepun, hari ini dan China pada Jumaat.

"Kemenangan kelmarin menjadi bukti bahawa tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai di Gungzhou," katanya, sebelum berlepas ke Guangzhou dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Turut ke Guangzhou ialah skuad badminton dan renang.

Jelasnya, atlet yang tiba awal di Guangzhou berada pada keadaan baik dan mereka cukup bersemangat.

Kontinjen negara akan masuk ke Perkampungan Sukan hari ini.

"Esok (hari ini) upacara menaikkan Jalur Gemilang akan dilangsungkan di Perkampungan Sukan.

''Jadi saya mengharapkan sokongan padu bukan sahaja dari peminat sukan, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

"Kejayaan di Guangzhou penting, kerana kita mahu mengakhiri tahun 2010 dengan penuh bermakna, ia juga bagi membuktikan sukan di Malaysia sentiasa relevan dari awal hingga akhir tahun," katanya.

Menurut Zolkples, pencapaian pada Sukan Asia nanti, akan membantu mencapai wawasan matlamat negara dalam bidang sukan.

Turut berlepas ke Guangzhou ialah pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian nanti, Koo Kien Keat, yang akan berganding dengan Tan Boon Heong, bagi mempertahanemas yang dimenangi empat tahun lalu di Doha dalam acara beregu lelaki badminton.

Malaysia menyasarkan sembilan pingat emas di Guangzhou, bagi memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di mana kita memenangi lapan pingat emas, 17 perak dan 17 gangsa.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cy3lBHXE
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan