ARKIB : 02/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PEMAIN Indonesia, Irfan Firman
Utina (kiri) bersaing untuk merebut bola dengan pemain Malaysia, Mohd.
Asraruddin Putra (kanan) sewaktu perlawanan peringkat Kumpulan A Piala Suzuki
AFF di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia, semalam. - AP
KUALA LUMPUR - Lawan terlalu
hebat atau kalah atas kesilapan sendiri? Apa jua jawapannya, para peminat bola
sepak Malaysia harus menelan kepahitan apabila maruah skuad negara
dicarik-carik di bumi Jakarta apabila dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada
perlawanan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Malah risiko jurulatih, K.
Rajagobal menurunkan Sharbinee Allawee selaku penjaga gol utama negara
mengenepikan Khairul Fahmi Che Mat serta menggunakan khidmat dua pertahanan
Harimau Muda, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas di dalam kesebelasan
utama jelas memakan diri sendiri.
Itulah yang terjadi sebaik wisel
permainan dimulakan apabila tuan rumah yang bersemangat mahu memburu kemenangan
awal-awal lagi sudah memberi amaran melalui gerakan awang import Uruguay,
Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim.
Indonesia hampir di hadapan pada
minit ke-2 melalui Gonzales yang berjaya melepaskan percubaan tepat ke arah
pintu gol Malaysia, namun mujur Sharbinee Allawee tangkas menafikan hajat tuan
rumah untuk mendapatkan gol awal.
Bagaimanapun, Harimau Malaya
terlebih dahulu mengambil giliran mengejutkan tuan rumah melalui gol
pendahuluan pada minit ke-18 menerusi gerakan mantap yang dipamerkan oleh Safee
Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
Melalui dari arah sebelah kiri,
Safee bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Indonesia untuk
melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal bagi
meletakkan Malaysia di hadapan.
Walaupun begitu, gol itu yang diharapkan
mampu menyuntik semangat perjuangan Malaysia ternyata meleset sebaliknya
membuatkan lawan bangkit memberikan tentangan dan hasilnya skuad Garuda berjaya
memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-22.
Hantaran lintang daripada sebelah
kiri berjaya disambung oleh Irfan sebelum bola tersebut melantun mengenai
Sharbinee dan Asraruddin Putra Omar tersepak masuk ke dalam gawang sendiri.
Episod malang Malaysia berterusan
10 minit kemudian, kali ini giliran Gonzales yang mudah melepasi kawalan pemain
negara, Mohd. Muslim Ahmad sebelum melakukan rembatan mengelirukan Sharbinee
bagi meletakkan Indonesia di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan.
Kedudukan 2-1 kekal di separuh
masa pertama sebelum Indonesia terus mengganas pada baki 45 minit permainan dan
anak-anak buah K. Rajagobal kian layu pada saingan babak kedua.
Ketika kebangkitan diharapkan,
Indonesia terus mengendurkan semangat pemain Malaysia menerusi gerakan menarik
pemain bek kanan, Muhammad Ridwan yang bijak melepasi kawalan Muslim dan Fadhli
sebelum tenang menewaskan Sharbinee yang keseorangan di pintu gol.
Terdesak melihat kedudukan
semakin kritikal, Rajagobal memasukkan Ashari Samsudin dan Amar Rohidan
menggantikan Amri Yahyah dan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-63 tetapi ia
tidak mengubah banyak corak permainan Malaysia.
Asrarudin yang dilihat antara
pemain paling banyak melakukan kesilapan di kubu negara bermurah hati
memberikan gol keempat kepada Indonesia selepas gagal mengeluarkan bola bahaya
di dalam kotak penalti dan Arif Suryono pantas menyambar peluang terhidang bagi
membunuh api perjuangan pemain Harimau Malaya.
Pemain berdarah kacukan Belanda
dan Indonesia, Irfan Bachdim memulakan pesta gemilang buat penyokong Indonesia
dengan gol kelima pada masa kecederaan hasil hantaran bola lintang berbahaya
Oktovianus Maniani bagi menyimpulkan malam derita buat bola sepak Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d6uNDPl7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan