ARKIB : 15/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR Menumpaskan
penyandang juara, Vietnam bukan misi mustahil, apatah lagi Malaysia akan
beraksi dengan sokongan padu ribuan penyokong setia pada separuh akhir pertama
bola sepak Piala Suzuki Piala AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam
ini.
Selepas kempunan untuk menjuarai
kejuaraan paling berprestij dalam saingan bola sepak Asia Tenggara itu sejak
penganjurannya 14 tahun lalu, ini mungkin masa terbaik buat K. Rajagobal dan
pemainnya membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi antara kuasa besar bola
sepak rantau ini.
Jika dilihat nada Rajagobal pada
sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, impian itu tidak mustahil
boleh direalisasikan tetapi dia mahu pemainnya menyuntik rasa yakin dengan
kemampuan diri sendiri sebelum berhasrat menewaskan Vietnam.
Mereka perlu mengubah mentaliti
dan menanamkan keyakinan dalam diri masing-masing sebelum bertemu Vietnam.
Sepatutnya kita tidak perlu
berasa tertekan. Pemain perlu sedar bahawa mereka tidak akan kehilangan apa-apa
dalam perlawanan ini kerana tekanan sebenarnya banyak memihak kepada lawan yang
merupakan pasukan pilihan dan juara bertahan, katanya selepas menghadiri
mesyuarat pengurus Piala Suzuki AFF, semalam.
Oleh itu, dia berharap semua
pemain mampu mempamerkan watak konsisten seperti mana yang ditunjukkan dalam
dua aksi terakhir peringkat kumpulan bagi membendung langkahan pantas Vietnam.
Selepas melalui saat yang sukar
di Sukan Asia dengan kecederaan ramai pemain utama, kebanyakan pemain muda yang
memikul tanggungjawab membuktikan bahawa mereka boleh bermain baik sehingga
mampu melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF.
Saya mahu mereka teruskan rentak
yang sama pada perlawanan esok (hari ini), memang ia satu pengalaman baru buat
pemain tetapi mereka tidak perlu takut, tidak perlu gentar, apa yang saya mahu
mereka berikan terbaik ketika bermain di atas padang.
Malah, saya harap pertemuan
dengan Vietnam akan menjadi aksi menarik untuk ditonton dan paling penting kita
mampu melakar sesuatu untuk diingati oleh peminat sukan bola sepak pada 2010,
katanya lagi.
Walaupun begitu, Rajagobal tetap
merendah diri sambil menyifatkan Vietnam memiliki kelebihan di segenap aspek,
terutamanya bahagian serangan.
Mereka cukup pantas dalam
melakukan serang balas dan tidak cepat berputus asa, itu merupakan kekuatan
Vietnam, katanya.
Buat pemain pertahanan, Rajagobal
memberi pesanan agar jangan lagi mengulangi kesilapan yang sama ketika tumbang
5-1 di tangan Indonesia.
Perkara ini yang saya paling
bimbang kerana pertemuan separuh akhir sudah tentu akan berlangsung dengan
penuh sengit.
Masa kalah kepada Indonesia,
persembahan pemain sebenarnya baik cuma kesilapan individu di bahagian
pertahanan menyebabkan kita tewas dengan jaringan besar. Namun, saya tengok
mereka cepat belajar daripada kekalahan itu dan memperbaiki permainan dalam dua
baki saingan, ujar Rajagobal.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7wVttmH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan