Jumaat, 18 Januari 2019

Khyril benteng sekat 'tsunami'


ARKIB : 10/11/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Khyril Muhymeen Zambri mungkin mendapat kepercayaan jurulatih K. Rajagobal, bagi mengatasi masalah deretan kecederaan skuad Bawah 23 negara, yang memikul tugas lebih getir berdepan Jepun dalam acara bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou, petang ini.

Pemain depan serba boleh Kedah itu, kurang menyerlah di pentas tempatan, tetapi pengalaman dalam beberapa kejohanan senior, boleh diharapkan, apatah lagi dengan ketiadaan Ahmad Fakri Saarani sejak babak pertama menentang Kyrgyzstan, kelmarin.

Kemunculannya diperkuatkan dengan keadaan penjaring gol kemenangan, S. Chanturu yang turut belum pulih daripada kecederaan buku lali dan masih memerlukan balutan bongkah ais untuk meredakannya.

Rajagobal pasti tidak rela memperjudikan sayap kanan Kelantan itu lagi dengan Jepun walaupun dia sempat menguji kemampuan pemain Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan di barisan depan, yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-83.

Ia seperti hampir mustahil untuk menjinakkan sebuah pasukan dengan reputasi segagah Jepun, walaupun untuk mencuri satu mata namun, hanya pemain berpengalaman seperti Khyril mungkin mempunyai idea tertentu.

Ada baiknya Chanturu direhatkan terlebih dulu, bagi menjalani pemulihan kerana khidmatnya mungkin lebih diperlukan bagi menentang China, Sabtu ini dalam usaha skuad negara memburu tiket ke pusingan kedua sekurang-kurangnya dengan keputusan seri.

Walaupun hanya sebagai pemain gantian, kelincahan Khyril amat ditagih, terutama dalam melancarkan serangan balas, biarpun berdepan tugas paling berat memandangkan Jepun sudah membenam tuan rumah, China 3-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, kelmarin.

Ahmad Fakri dikatakan langsung tidak menjalani latihan semalam, malah ketiadaan ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah dalam sesi tersebut, turut membawakan khabar yang kurang menyenangkan pada barisan benteng kita.

Tanpa Norhafiz, lilitan lengan ketua pasukan dijangka berpindah kepada pemain tengah menyerang, Safiq Rahim dalam mengatur gerakan pasukan, biarpun dari segi usia, penyerang Norshahrul Idlan Talaha tampak lebih layak.

Pemain Selangor itu sudah pun diuji sebagai ketua pasukan Malaysia ketika persahabatan menentang Maldives di Petaling Jaya, minggu lalu dan kemahiran individunya dalam menggelecek, mencari ruang dan merembat, wajar menguatkan pemilihannya.

Penilaian di padang kelmarin membuktikan Jepun banyak memanfaatkan khidmat pemain paling seniornya, Daisuke Suzuki, 32, sehingga mampu mencipta enam percubaan ke gawang China kelmarin, berbanding dua milik tuan rumah.

Skuad negara cuma sempat menguji gawang Kyrgyzstan enam kali dengan hanya tiga daripadanya yang menuju gawang, sekali gus membayangkan betapa kubu Jepun yang bakal banyak berehat hari ini.

Ia akan disokong dengan kesukaran Malaysia menembusi mahupun menguasai bahagian tengah, yang bakal dibanjiri sehingga lima pemain Jepun yang lebih suka menggunakan formasi penyerang tunggal, Kensuke Nagai - penjaring gol ketiga ke atas China.

Jepun mendahului kumpulan dengan kelebihan jaringan dan diikuti Malaysia, tetapi mungkin keghairahan anak buah Takashi Sekizuka meraih tiket pusingan kedua lebih cepat menerusi kemenangan kedua hari ini, mungkin mampu dihukum skuad Rajagobal.

Barisan kemungkinan Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad, Asraruddin Putra Omar, Fadhli Shas, S. Kunanlan, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Faizal Muhammad, Izzaq Faris Ramlan (Khyril Muhymeen Zambri), Norshahrul Idlan Talaha.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cy4aHrOG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan