ARKIB :
29/12/2010
JAKARTA -
Ujian pertama sudah lulus.Kini, lupakan seketika kemenangan lalu. Buat para
pemain negara, mereka tidak perlu hanyut dibuai kejayaan manis menang 3-0 pada
pertemuan pertama minggu lalu kerana laluan berduri yang akan menguji ketahanan
mental dan fizikal akan menanti di bumi Jakarta, hari ini.
Memang laluan
yang akan dihadapi oleh pemain negara kita cukup perit pada malam ini. Bukan
kerana tekanan berhadapan 80,000 penyokong merah putih, malahan sikap provokasi
yang dipamerkan oleh media dan rakyat Indonesia di sini jelas sanggup melakukan
apa sahaja asalkan konsentrasi dan fokus pemain terjejas.
Sejak hari
pertama tewas, isu penggunaan laser terus menjadi bahan ungkitan terutamanya
pihak media, malahan ketika hari terakhir persiapan antara kedua-dua pasukan.
Isu remeh ini
terus dipanaskan sehingga tahap mendidih seolah-olah Malaysia mendapatkan kemenangan
di Kuala Lumpur dengan cara tidak bermaruah.
Biarkan kem
Indonesia terus memilih pendekatan sebegitu kerana sebenarnya mereka jelas amat
mencemburui skuad Harimau Malaya yang kini berpeluang menjulang trofi AFF buat
kali pertama.
Atas kertas, keyakinan
Malaysia cukup tinggi walaupun kita akan kehilangan khidmat Mahalli Jasuli dan
Mohd. Amirulhadi Zainal. Namun kekuatan keseluruhan skuad ini tidak sedikit pun
akan terjejas.
Ashari
Samsudin dan Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka menjadi taruhan mampu menggalas
kekosongan yang ditinggalkan dan Malaysia tidak perlu berasa tertekan
berbanding Indonesia.
Jurulatih
skuad negara, K. Rajagobal mungkin akan memilih bermain secara bertahan
sepanjang 90 minit di Gelora Bung Karno di samping cuba melancarkan serangan
balas jika berpeluang.
Skuad negara
tidak perlu bermain cantik dan apa paling penting adalah efisien daripada segi
keputusan.
Keputusan di
Hanoi, kita telah membuktikannya.
Apa yang
penting, para pejuang negara wajib tidak melepaskan gol awal pada Indonesia di
15 minit pertama permainan. Sekiranya kita meraih gol awal, Malaysia boleh
dikatakan hampir pasti akan pulang ke Kuala Lumpur selaku juara Piala AFF.
Di pihak
Indonesia, walaupun keyakinan di kalangan peminatnya masih tinggi dan optimis bahawa
skuad kesayangan mereka itu akan muncul juara dan Malaysia bakal diganyang di
kandang tuan rumah, ketiadaan Oktovianus Maniani mungkin menjejaskan rentak
mereka.
Semua pemain
Indonesia jelas berada dalam tekanan berbanding kem Malaysia kerana harapan
yang diletakkan oleh para peminatnya begitu tinggi dan ekstrem. Situasi itu
perlu diambil oleh pemain negara kerana kemungkinan kesilapan bakal dilakukan
oleh pemain Indonesia.
Buat Safiq
Rahim dan rakan-rakan, ayuh ulangi persembahan menakjubkan di Kuala Lumpur pada
pukul 8 malam ini dan benamkan ego Indonesia. Malaysia Boleh! - UTUSAN
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dFRNs99w
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan