ARKIB :
01/01/2011
Wira-wira bola
sepak negara yang layak ke Olimpik Moscow pada 1980 bergambar Sultan Ahmad Shah
(tengah). Malaysia mara selepas mengalahkan Korea Selatan di Stadium Merdeka
Kuala Lumpur. Skuad negara diwakili (barisan belakang dari kiri) Ong Yu Tiang,
D. Davendran, Ramli Junit, Tukamin Bahari, Peter Rajah, Zulkifle Hamzah,
Abdullah Ali, S. Puspanathan (terlindung), James Wong, Soh Chin Aun, Khalid
Ali, Santokh Singh, Mohammad Bakar dan Karl Weigang (jurulatih). Barisan depan
(dari kiri) pula ialah Hassan Sani, Kamaruddin Abdullah, R. Arumugam, Wan Jamak
Hassan, Abdah Aliff, Jamal Nasir dan Shukor Salleh.
KUALA LUMPUR -
Pasti ramai tidak lupa detik-detik ketika Hassan Sani melorongkan bola kepada
James Wong, yang merembat masuk gol kemenangan Malaysia 2-1 ke atas Korea
Selatan pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Merdeka pada 1980.
Seluruh negara
melonjak gembira.
Perasaan itu
dirasai semula malam kelmarin, selepas 30 tahun.
Bola sepak
Malaysia begitu disegani di Asia pada era 1950-an, kemudiannya ketika era
legenda Mokhtar Dahari, R.Arumugam, Soh Chin-Aun dan Santokh Singh.
Selepas
kemenangan gandingan James Wong-Hassan Sani, bola sepak negara mulai merudum
pada 1990-an dan awal tahun 2000.
Ia tampak
bangkit semula Disember tahun lepas, apabila skuad negara memenangi pingat emas
Sukan SEA di Vientiane, Laos. Kejayaan memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selepas
mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2, mengesahkan Malaysia jaguh sebenar
bola sepak Asia Tenggara.
Malah, pasukan
yang sama juga mencipta kejutan apabila menewaskan Korea Selatan 1-0 tahun ini.
Pujian kepada
jurulatih tempatan, K. Rajagobal, 54, yang mula menjadi jurulatih kebangsaan
Bawah 23 sejak April 2009.
Skuad bimbingannya
telah berjaya 'mengajak' penyokong bola sepak supaya memenuhi semula Stadium
Nasional di Bukit Jalil. Buat pertama kalinya Stadium Nasional dipenuhi 85,000
penonton bola sepak semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki, Ahad
lepas.
Tidak mustahil
penyokong negara beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Stadium Gelora
Bung Karno, jika tidak wujud keraguan terhadap keselamatan di Jakarta, Rabu
lepas.
Kali terakhir
Stadium Nasional padat dengan kebanjiran penonton ialah ketika perlawanan
persahabatan skuad kebangsaan menentang pasukan kelab Liga Perdana Inggeris
(EPL), Manchester United FC pada 18 Julai 2009.
Lebih bermakna
kejayaan Malaysia kali ini apabila skuad kebangsaan terdiri daripada anak jati
Malaysia.
Selepas
mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan daripada B. Sathianathan, Rajagobal
telah membuat kenyataan bahawa beliau meminta tempoh tiga tahun untuk membentuk
skuad yang mampu mengembalikan keagungan bola sepak negara.
Semasa Sukan
Asia 2010 di Guangzhou baru-baru ini, skuad negara yang menghadapi masalah
kecederaan, turut membuat kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan
kedua meskipun terpaksa akur apabila dibelasah Iran 1-3.
Selepas
beraksi di Sukan Asia, skuad Harimau Malaya, cuma berehat seminggu sebelum
menyambung latihan bagi mempersiapkan diri untuk kejohanan bola sepak Piala AFF
Suzuki.
Rajagobal,
yang memegang lesen A Gabungan Bolasepak Asia (AFC), pernah melatih pasukan
Selangor pada tahun 2000 dengan membawa pasukan tersebut menjuarai Liga Perdana
Satu, separuh akhir Piala Malaysia dan Suku Akhir Piala FA.
Selain itu,
beliau juga pernah membawa Kelantan sehingga peringkat separuh akhir pada musim
2001/2002 Piala Malaysia sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah
21 tahun kebangsaan dari tahun 2003 hingga 2009.
Rajagobal
pernah berkata, tiga aspek penting jika mahu kembali disegani di peringkat Asia
Tenggara ialah pembangunan pemain peringkat akar umbi, pembangunan jurulatih
dan Liga Malaysia sendiri perlu menghasilkan pemain-pemain yang berpotensi.
"Saya
tahu dan seluruh rakyat tahu bahawa ia merupakan satu perkara yang tidak mudah
tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik dan bersikap realistik,"
katanya selepas dilantik tahun lepas.
Beliau
berkata, ketiadaan pemain import merupakan peluang terbaik bagi pemain tempatan
untuk menonjolkan prestasi masing-masing.
Rajagobal
dikenali sebagai seorang yang peramah dan merendah diri, tetapi tetap tegas
ketika berada di atas padang.
Sebagai bekas
pemain kebangsaan, beliau dikenali sebagai seorang nippy striker yang pernah
bermain bersama pemain legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari lewat
zaman 1970-an.
Ketika itu,
beliau bermain untuk pasukan PKNS FC dalam liga semi-pro negara dari tahun 1978
hingga 1989.
Kejayaan
Rajagobal menyemarakkan semangat Malaysia melangkah ke tahun baru dengan lebih
yakin untuk mencatat lebih banyak kejayaan.
'Terima kasih
Rajagobal. Terima kasih Harimau Malaya'.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dKP15Rww
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan