ARKIB : 16/12/2010
SEBAHAGIAN daripada 50,000
penyokong Malaysia yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk
menyemarakkan semangat pasukan negara ketika menentang Vietnam, semalam.
KUALA LUMPUR Kemenangan 2-0 ke
atas Vietnam pada separuh akhir pertama memberi keceriaan buat jurulatih
kebangsaan, K. Rajagobal, terutama melihat pemainnya memberi komitmen tinggi
dan bekerja keras sepanjang perlawanan.
Menurutnya, biarpun rata-rata
pemain masih lagi muda tetapi mereka sentiasa fokus pada setiap perlawanan dan
mempunyai fikiran optimistik.
Saya mengakui Vietnam pasukan
yang bagus dalam penguasaan bola tetapi pemain saya, terutama pertahanan harus
diberi pujian, katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil
semalam.
Jelasnya, pemain sentiasa menurut
segala arahan yang diberi iaitu bermain secara agresif, semuanya belum selesai
kerana perlawanan separuh akhir kedua menanti mereka di Vietnam Sabtu ini,
tambahan pula pasukan itu hebat di tempat lawan.
Sementara itu, Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berpuas
hati dengan semangat yang ditampilkan Malaysia dan keputusan tersebut amat
ditagih bagi membawa bekalan ke Vietnam nanti.
Saya berpuas hati dengan dua gol
walaupun kita berpeluang untuk menjadikan keputusan perlawanan ini 3-0. Harap
mereka dapat menjaringkan gol awal di sana (Vietnam) kerana pasukan lawan pasti
akan bermain bermati-matian, katanya.
Bagi jurulatih Vietnam, Henrique
Calisto, perlawanan semalam berlangsung menarik dan Malaysia mendominasi
perlawanan pada separuh masa kedua dengan baik.
Kami bermain dengan baik tetapi
kesilapan yang mudah membolehkan lawan berjaya menjaringkan dua gol, kami tidak
mampu menguasai di bahagian tengah, bagaimanapun perjuangan masih belum
berakhir.
Ia seperti kami baru sahaja
tewas perlawanan separuh masa pertama, masih ada baki perlawanan separuh masa
kedua, kami masih boleh mara ke saingan akhir tetapi ia bukannya mudah selepas
ketinggalan 2-0, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5d81Uyvz2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan