Isnin, 28 Januari 2019

Kim Swee mohon restu


ARKIB : 12/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Skuad Olimpik negara tiba di KLIA, Sepang semalam, sekembalinya mereka dari Lahore, Pakistan. - UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed

SEPANG - Sejurus tiba dari Pakistan semalam, pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi menghadapi persaingan pusingan kedua kelayakan Olimpik yang dijadualkan berlangsung 19 dan 23 Jun nanti.

Namun, bagi melancarkan segala apa yang telah dirancang, beliau berharap Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (JKPT FAM) merestui permintaannya untuk menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang akan berlangsung mulai 14 hingga 21 Jun.

Selain itu, Kim Swee juga berharap dapat melakukan beberapa aksi persahabatankelas A bergantung kepada lawan yang akan ditemui skuad Olimpik negara pada pusingan kedua.

''Bagi melakukan persiapan mantap untuk pusingan kedua, saya mahu mengumpul semua pemain bagi menjalani latihan bersama di Kuala Lumpur selepas pertemuan dengan Selangor pada 24 Mei sehingga hari perlawanan.

''Dalam tempoh berkenaan, saya menagih beberapa perlawanan persahabatan kelas A memandangkan kami bakal berdepan pasukan-pasukan yang lebih baik pada pusingan seterusnya.

''Atas sebab itu, saya meminta jasa baik Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM agar menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang akan Harimau Muda A lalui pada 14, 17 dan 21 Jun, " katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Pakistan bersama para pemain dan pegawai, semalam.

Skuad Olimpik negara mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0, hasil kemenangan di Stadium Shah Alam pada 23 Februari walaupun terikat tanpa jaringan pada perlawanan kedua di Lahore, Rabu lalu.

Bagi perlawanan persahabatan, Kim Swee menjelaskan dia akan memilih pasukan yang mempunyai kemampuan setanding dengan skuad yang akan ditemui pada pusingan kedua.

''Sebagai contoh, andai kata kita diundi berdepan Jepun, saya akan memilih lawan dari benua dan gaya permainan yang sama seperti Korea Selatan, samalah juga sekiranya kita bertemu dengan mana-mana pasukan Asia Barat, kita akan memilih pasukan dari benua yang sama.

''Jadi selepas 30 Mac, selepas kita mengetahui lawan kita, barulah saya dapat melakukan strategi bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan lawan kita.

''Tetapi segala perancangan itu hanya boleh dilakukan jika Jawatankuasa Pertandingan Tempatan bersetuju memberikan ruang kepada kami berlatih secara bersama sebulan ini," ujarnya sekali lagi.

Tiga perlawanan yang diminta oleh Kim Swee untuk ditangguhkan terbabit ialah membabitkan pertemuan dengan Terengganu (14 Jun), Sabah (17 Jun) dan Pahang (21 Jun).

Dalam masa sama, Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah yang juga pengurus skuad Olimpik berjanji akan mengajukan perkara itu untuk diteliti mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

''Saya akan cuba meminta supaya semua ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) menilai kembali jadual pertandingan ketat yang sedang dilalui oleh Harimau Muda di dalam kempen Liga Super dan kemungkinan melakukan sedikit rombakan.

''Ia penting supaya tidak menjejaskan prestasi semasa skuad Olimpik di peringkat antarabangsa yang sedang mengharungi kelayakan Olimpik," ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi JKPT.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dtfYZFzW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan