ARKIB : 24/12/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Pemain pasukan bola sepak
kebangsaan, megah bergambar dengan berlatar belakangkan Jalur Gemilang sejurus
selesai sesi latihan harian di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. UTUSAN/RASHID
MAHFOF
PETALING JAYA - Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap
skuad negara mampu mencapai kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dalam perlawanan
akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini
sebagai bekalan selesa mereka.
Katanya, jaringan pendahuluan itu
pasti menyulitkan hasrat lawan yang turun bertemankan penyokong fanatik pada perlawanan
kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta sekali gus meletakkan anak buah K.
Rajagobal menghampiri piala berprestij bola sepak rantau Asia Tenggara itu.
Saya berharap dan meramalkan
kita perlu menang 3-0 di sini, sebagai bekalan selesa sebelum bertandang ke
Jakarta (Rabu ini), katanya pada sesi latihan skuad negara di Wisma FAM,
Kelana Jaya, semalam, menjelang pertembungan buku dengan ruas itu.
Mengenai ganjaran, Tengku
Abdullah memilih untuk merahsiakan bentuk imbuhan sekiranya skuad negara
berjaya menjulang kali pertama piala berkenaan, walaupun pelbagai pihak
Indonesia awal-awal lagi mengumumkan ganjaran lumayan buat anak buah Alfred
Riedl itu.
Ganjaran bagi kejayaan mereka
akan ditetapkan selepas kedua-dua perlawanan. Ia tetap ada, malah dalam kejayaan
ketika beberapa perlawanan lalu, kita sudah berikannya, katanya yang menyeru
kehadiran dan sokongan ribuan penyokong Harimau Malaya ke Bukit Jalil.
Tegasnya: Inilah detik yang
dinanti-nantikan dan kepada pasukan, bermain sebaik mungkin dan kita
mengharapkan dan amat memerlukan kejayaan di gelanggang sendiri daripada
mereka.
Saya yakin mereka kini
bersemangat tinggi untuk melakukannya, malah saya rasa setiap kejayaan pasukan
ini bakal menjadi titik tolak kebangkitan dan mutu bola sepak negara, katanya.
Mengenai masa depan Rajagobal
yang membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF buat
kali pertama dalam tempoh 14 tahun, katanya: Dia mungkin dikekalkan sebagai
sebahagian barisan kejurulatihan dalam skuad Sukan SEA 2011 pula.
Sama ada khidmatnya diteruskan
pula sebagai jurulatih skuad Sukan SEA 2011, saya tidak dapat pastikan lagi,
walaupun memang ada kemungkinan pada fikiran saya, dia mampu menjadi sebahagian
daripada pasukan itu.
Namun dalam masa yang sama, FAM
mahu cuba memberikan pendedahan kepada jurulatih tempatan lain supaya mereka
juga dapat belajar apabila memikul tanggungjawab itu, katanya.
Rajagobal juga membimbing skuad
Bawah 23 negara mengakhiri kemarau emas dua dekad Sukan SEA di Laos, tahun lalu
selain ke pusingan kedua Sukan Asia di Guangzhou, bulan lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d9hX3UaV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan