Sabtu, 19 Januari 2019

Bola tewas, Malaysia tumpu Piala AFF Suzuki


ARKIB : 16/11/2010
GUANGZHOU - Malaysia menamatkan saingan bola sepak Sukan Asia selepas kecundang 1-3 kepada Iran dalam pusingan kedua, semalam selepas ditimpa masalah kecederaan yang melibatkan ramai tonggak utama dan penggantungan pemain sepanjang aksi dalam temasya ini.

Selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan, skuad negara tumbang 0-2 kepada Jepun dan 0-3 kepada China untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.

Apa pun, jurulatih K. Rajagobal menganggap kempen pada Sukan Asia XVI sebagai berjaya.

"Secara keseluruhan, ini satu kejohanan yang berjaya buat skuad kebangsaan. Apa yang penting, kita kini mula dihormati oleh semua pasukan kuat di rantau Asia ini.

Malaysia berjaya mengikat Iran tanpa jaringan pada separuh masa pertama berikutan aksi cemerlang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Namun, gawang Malaysia yang menerima asakan bertali arus jentera serangan Iran tidak dapat bertahan lama apabila Karim Ansari Fard merembat gol pertama pasukannya pada minit ke-52.

Suasana kelam kabut jelas mempengaruhi benteng Malaysia dengan hantaran yang tidak kemas dan mudah kehilangan kawalan bola menyebabkan Iran mengambil kesempatan kecelaruan kesebelasan negara untuk menguatkan kedudukannya menerusi tandukan Seyed Hosseini enam minit selepas itu.

Iran yang juga juara bertahan, semakin selesa mendahului apabila Amir Sharafi merembat masuk dari luar kotak penalti pada minit ke-66 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol sagu hati Malaysia menerusi sepakan penalti minit ke-85.

Dalam pada itu, skuad negara yang tempang sepanjang kempen Sukan Asia XVI bakal diperkuat dengan 10 pemain tambahan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember ini.

Mereka adalah Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Nasriq Baharom, Azmi Muslim, Halim Zainal, Khairul Helmi Johari serta dua penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias.

Rajagobal berkata, skuad negara yang akan pulang ke tanah air hari ini atau esok dijangka mengadakan latihan pusat pada Isnin.

"Inilah pemain yang telah saya daftar. Tetapi kita tidak akan dapat menggunakan khidmat Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani yang cedera panjang. Cuma saya harap pemain yang tidak dibawa ke Sukan Asia akibat kecederaan seperti Baddrol, Sabre, Nasriq, Azmi dan Sharbinee sudah kembali pulih untuk ke Piala AFF Suzuki. - Utusan



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5d2y9qDnu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan