Isnin, 21 Januari 2019

Ashari tidak sabar untuk meledak lagi


ARKIB : 29/12/2010
JAKARTA - Akhirnya penjaring terbanyak Liga Super 2010, Ashari Samsudin meledakkan gol pada perlawanan akhir pertama berdepan Indonesia selepas menggantikan Mohd. Amirulhadi Zainal di separuh masa kedua.

Rembatan menariknya pada minit ke-67 yang menewaskan Markus Harison dari jarak 20 meter mungkin masih terbayang-bayang di ruang mata peminat Harimau Malaya sehingga hari ini.

Menjelang perlawanan kedua di Stadium Gelora Bung Karno hari ini, nama Ashari dijangka akan disenaraikan di dalam kesebelasan utama kerana ketiadaan Amirulhadi yang digantung perlawanan ekoran mengumpul dua kad kuning di samping Khyril Muhymeen yang masih belum cergas.

Cukup lincah beraksi di sayap kiri, anak jati Marang, Terengganu itu berazam mahu meledakkan gol lagi, walaupun terpaksa berhadapan dengan sorakan menggila penyokong Sang Garuda di laman sendiri.

''Keyakinan saya semakin tinggi selepas meledak gol pertama di Piala Suzuki AFF dan kalau boleh saya hendak melakukan jaringan lagi.

''Saya tidak takut dengan ancaman penyokong Indonesia, malah bersedia menamatkan cabaran pasukan kesayangan mereka itu dengan menjaringkan gol pemusnah," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, semalam.

Ashari sebelum ini hanya digunakan selaku pemain gantian ketika berdepan Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan dan Vietnam di separuh akhir kedua di Hanoi.

Walaupun begitu, dia tetap menaruh harapan bahawa jurulatih, K. Rajagobal akan menurunkannya dalam perlawanan paling penting skuad Malaysia.

''Jika saya diturunkan dalam kesebelasan utama, saya berjanji akan melakukan yang terbaik dan tidak akan menghampakan harapan seluruh peminat.

''Saya mahu memberikan kemenangan ini kepada seluruh pecinta bola sepak tanah air yang tidak henti-henti memberi sokongan padu kepada skuad negara," ujarnya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dFPLm4D0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan