ARKIB : 26/02/2011
KUALA LUMPUR - ''Kalau diikutkan hati, memang saya tidak berpuas hati
dengan kemenangan semalam kerana hanya dua jaringan sahaja mampu dicatatkan.''
Demikian pengakuan secara jujur pemain pertahanan skuad Olimpik negara, Mohd.
Muslim Ahmad mengenai perlawanan dengan Pakistan, Rabu lalu.
Tambahnya lagi, sememangnya skuad negara layak menang dengan jaringan yang
lebih besar lagi jika dihitung peluang terhidang.
Muslim bagaimanapun enggan menyalahkan rakan-rakannya di bahagian serangan
kerana telah mencuba apa yang termampu.
''Kami semua telah cuba sedaya upaya mahu menambah gol pada separuh masa
kedua malahan kami banyak mengawal perlawanan berbanding Pakistan tetapi jelas
rezeki tidak memihak kami," ujarnya.
Namun, pemain kelahiran Terengganu itu berkata, dia mahu melupakan segera
perlawanan itu dan memberikan fokus kepada pertemuan kedua di Lahore, 9 Mac
ini.
''Apa yang dah berlaku, biarkan berlalu. Kini saya dan rakan-rakan hanya
mahu memikirkan perlawanan kedua dan mencari kemenangan sekali lagi di sana.
''Cuma diharapkan kami semua tidak leka dengan kemenangan ini kerana
perjuangan masih belum berakhir. Kami masih ada 90 minit lagi di sana, "
ujarnya.
Muslim yang bergandingan dengan Mohd. Fadhli Shas di bahagian pertahanan
beraksi dengan cemerlang pada perlawanan tersebut dengan dapat menandingi
kekuatan fizikal barisan penyerang Pakistan.
Sementara itu, Muslim turut kecewa dengan taktik para pemain Pakistan yang
banyak melengahkan masa permainan.
''Tindakan mereka itu banyak mengganggu momentum permainan kami dan saya
harap itu tidak berlaku lagi pada perlawanan di sana.
''Mengenai sasaran kami nanti, kami mahu mendapatkan gol awal di tempat
lawan supaya dapat membunuh semangat juang Pakistan. Mereka memerlukan empat
gol selepas itu jika berhasrat mahu mara ke pusingan kedua," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5dj7tPapl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan