Isnin, 21 Januari 2019

Indonesia mahu ikat Safee, Shahrul

ARKIB : 25/12/2010
 
Skuad yang mampu untuk melakar satu lagi sejarah meraih Piala Suzuki AFF buat kali pertama.

JURULATIH pasukan Indonesia, Alfred Riedl, menamakan dua pemain Malaysia yang boleh mengugat cita-cita republik pada pertemuan akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Menurutnya, Malaysia memiliki Norsharul Idlan Talaha dan Safee Sali yang merupakan penyerang yang cukup berbahaya.

Malaysia menurutnya tidak mungkin mampu melangkah ke pentas akhir jika tidak disebabkan dua penyerang tersebut.

Norshahrul merupakan pencetus kepada gol-gol yang dijaringkan.

Sementara Safee adalah pahlawan yang memastikan lawan rebah.

Dua gol yang dia ledakkan ke gawang Vietnam pada peringkat separuh akhir pertama sudah cukup untuk memastikan juara bertahan itu tersungkur.

Sebab itu katanya, kedua-duanya perlu diberikan perhatian pada pertemuan malam esok.

"Saya sudah melihat permainan mereka ketika melawan Vietnam. Meskipun saya tidak hafal satu persatu, semua pemain perlu diwaspadai.

"Namun yang paling berbahaya adalah pemain nombor 9 (Norshahrul) dan 10 (Safee)," katanya kepada wartawan di Indonesia.

Malah kata Riedl, mereka sangat menghormati Malaysia.

"Namun, kami tidak takut untuk menghadapi mereka," katanya.

Selain itu, kecederaan yang berlaku dalam pasukan Indonesia tidak membimbangkan walaupun Firman Utina dan Oktovianus Maniani tidak beraksi di Bukit Jalil malam esok.

Menurut Riedl, ada pemain lain yang memiliki kualiti yang sama untuk menggantikan kedua pemain tersebut.

Firman mengalami cedera pangkal paha, sementara Okto pula cedera hamstring ketika menentang Filipina pada peringkat separuh akhir kedua.

Pada sesi latihan Khamis lalu kedua-dua pemain tidak berlatih bersama rakan sepasukan yang lain.

Kedua-duanya hanya menjalani latihan ringan dengan berlari-lari keliling padang di bawah pemerhatian fisioterapi.

Ketiadaan dua pemain itu akan diganti oleh dua pemain berbakat pada posisi terbabit.

Arif Suyono mampu menggantikan peranan Okto di sayap kiri. Sementara itu, Firman boleh digantikan Tony Sucipto, Eka Ramdani dan Johan Juansyah.

Eka sendiri pernah mengisi posisi Firman ketika menentang Thailand pada peringkat kumpulan.

"Tidak ada strategi khusus bila kedua-dua pemain tersebut tiada. Kami mempunyai 22 pemain utama yang semuanya memiliki kualiti yang sama," ujar Riedl.

Dalam sesi latihan pula Riedl berusaha mempertajam umpanan silang, tendangan percuma dan penyelesaian akhir pasukannya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana_Sukan&pg=rs_02.htm#ixzz5dET2eekY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan