Rabu, 23 Januari 2019

Terima kasih kerajaan Malaysia - Rajagobal


ARKIB : 13/01/2011
 
Najib Tun Razak memperkatakan sesuatu yang menarik perhatian (dari kiri) Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Safee Sali, Safiq Rahim serta Subahan Kamal pada majlis ramah mesra meraikan kejayaan Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010 di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA - Ganjaran RM65,000 termasuk saham amanah dan wang tunai oleh kerajaan dibalas dengan ucapan terima kasih jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal dengan menganggap ia satu penghargaan yang sangat bermakna.

Kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir bulan lalu, menyaksikan skuad 25 pemain dan jurulatih itu diberikan unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000, serta imbuhan RM10,000 daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Kementerian Belia dan Sukan pula akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, ketika meraikan skuad Harimau Malaya itu di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut Rajagobal, ganjaran bakal membangkit semangat pemain untuk terus beraksi cemerlang dan mengekalkan prestasi mereka sehingga mampu untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2015.

"Saya sangat gembira dengan ganjaran yang diberikan ini, ia boleh dikira sebagai satu penghormatan kepada seluruh pasukan, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan kami janji akan mengekalkan prestasi terbaik ini," katanya ketika ditemui media semalam.

Jelasnya, pemain tidak boleh leka dan dibuai dengan mimpi indah, banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki untuk kembali bersaing di peringkat Asia.

"Ini adalah satu permulaan, perjalanan masih lagi jauh tetapi saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan terus memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pemain-pemain yang masih muda ini.

"Kita memang ada peluang untuk melonjak lebih jauh, mungkin pada empat tahun lagi skuad ini akan lebih mantap, tetapi kita perlu meletakkan sasaran dan bekerja keras bermula daripada sekarang," katanya.

Pada majlis tersebut kesemua pemain yang beraksi pada Piala Suzuki AFF hadir, kecuali Mohd. Ashaari Shamsuddin yang sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama di Terengganu.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berkata, ganjaran tersebut membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan pemain amat dihargai, kerana bukan sahaja meraih kejuaraan tetapi mewujudkan semangat satu padu di kalangan rakyat.

"Oleh itu mereka perlu dirai dengan sebegini dan saya sendiri juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dengan sumbangan ini, saya berharap pasukan Malaysia akan terus maju ke depan.

"Saya juga menyanggah bahawa ganjaran ini akan merosakkan pemain, ia adalah kejayaan yang diraih atas usaha mereka sendiri, mereka beraksi kerana sayangkan negara," kata Subahan yang juga Naib Presiden FAM.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dQsxVZjr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan