ARKIB :
28/12/2010
Harimau mahu
mengaum lagi
Daripada
SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
Pasukan bola
sepak kebangsan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di
Jakarta, semalam.
JAKARTA - Menang
atau kalah bukanlah persoalan yang menjadi keutamaan bagi pasukan bola sepak
kebangsaan, Harimau Malaya yang bertandang ke sini untuk melengkapkan
perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok.
Sebaliknya,
jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, kehadiran beliau bersama anak-anak
buahnya ialah untuk bermain atas dasar semangat kesukanan.
"Sudah
tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika
ditanya kepada sesiapa sekalipun, pastinya masing-masing berharap untuk menang.
''Tiada siapa
yang mahu tewas. Jadi, lebih baik kita tunggu dan lihat saja perlawanan pada hari
Rabu ini," katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Soekarno Hatta di sini, semalam.
Rajagobal yang
tiba bersama pemain-pemain bimbingannya serta pengurus pasukan Datuk Subahan
Kamal disambut pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini serta sekumpulan
pelajar Malaysia.
Tiba dengan
pesawat Penerbangan Malaysia, kesemua pemain kebangsaan sempat beramah mesra
dengan peminat-peminat mereka biarpun masing-masing masih kepenatan.
Rajagobal juga
memberitahu, beliau belum memutuskan sama ada akan menurunkan anak-anak buahnya
menjalani latihan di padang Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini.
Sementara itu,
penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha optimis untuk menguasai GBK
pada final kedua Piala Suzuki AFF2010 di gelanggang berkenaan Rabu ini.
"Bagi
seseorang penyerang, selagi tidak dapat menjaringkan gol, selagi itu kita tak
berasa puas. Samalah seperti saya yang baru menjaringkan dua gol sepanjang
kejohanan ini.
"Salah
satu gol tersebut dijaringkan di GBK ketika kita tewas 1-5 pada aksi pertama
peringkat kumpulan. Mungkin saya lebih ada 'feel' untuk menjaringkan gol di
sini," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di Hotel Sultan di sini.
Norshahrul,
24, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting mencipta gerakan untuk dua
daripada tiga gol Malaysia pada aksi final pertama malam kelmarin apatah lagi
dia disifatkan oleh Rajagobal sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan ini.
Pada masa yang
sama, dia tidak terlalu berharap untuk memenangi anugerah Pemain Paling
Bernilai (MVP) Piala AFF Suzuki 2010 biarpun sebelum ini dia telah memenangi
anugerah MVP bagi Liga Malaysia 2010.
"Insya-Allah
kalau ada rezeki. Siapa yang tak mahu menang anugerah ini. Saya akan cuba
pamerkan aksi terbaik pada final kedua nanti bagi memastikan kejuaraan mutlak
milik Malaysia," ujar Norshahrul.
Perasaan hiba
pula menguasai pemain sayap kanan kebangsaan, Amirulhadi Zainal yang terpaksa
melupakan aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di sini kerana digantung
perlawanan. - Utusan
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dFBl36KC
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan