ARKIB :
29/12/2010
Pasukan
Malaysia berlatih di kawasan hotel penginapan mereka di Jakarta, semalam
selepas jadual asal latihan di Stadium Senayan terpaksa dibatalkan pada saat
akhir atas faktor keselamatan.
JAKARTA -
Kapten Malaysia, Safiq Rahim melaungkan keyakinan Malaysia mampu sekali lagi
menggempur benteng Indonesia dan sekali gus, memastikan gelaran juara Piala
Suzuki AFF menjadi milik Harimau Malaya.
Pemain
kelahiran Kuala Selangor itu berkata, kejayaan skuad negara menyekat kemaraan
juara bertahan Vietnam di Hanoi sebagi bukti mereka mampu mengulangi
kecemerlangan sama ketika turun menentang Indonesia.
''Jika Vietnam
kami mampu sekat ketika beraksi di Hanoi, saya rasa tiada alasan yang kami
tidak boleh mengulanginya semasa bertemu Indonesia.
''Bagi saya,
cara permainan skuad Indonesia tidak berbahaya seperti Vietnam atau
Thailand," itu pengakuan kapten Malaysia, Safiq Rahim menjelang pertemuan
getir berdepan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung
Karno, malam ini.
Menurut Safiq,
kejayaan menyingkirkan Vietnam di separuh akhir banyak menyuntik semangat
pasukan Harimau Malaya untuk beraksi lebih baik ketika berdepan Indonesia.
''Walaupun,
kami bermain dalam cuaca sejuk di Hanoi pada separuh akhir kedua, kami mampu
membendung setiap asakan Vietnam ketika beraksi di gelanggang lawan.
''Saya lihat
kami boleh mengulangi kecemerlangan yang sama, tambahan pula kami sudah ada
pengalaman beraksi di Bung Karno," katanya ketika ditemui di lobi Hotel
Sultan, semalam.
Bagi
mematahkan semangat melawan Indonesia, Safiq mahu rakan sepasukan mencari gol
awal kerana pasukan tetangga itu sudah pasti memerlukan lima gol jika mahu
mengatasi defisit Malaysia.
''Kami tidak
akan bermain bertahan sepanjang perlawanan, jika boleh kami mahu mendapatkan
gol awal terlebih dahulu kerana ia memberikan kelebihan jaringan di tempat
lawan.
''Namun,
seandainya kami dibolosi terlebih dahulu, saya akan pastikan rakan-rakan tidak
cepat hilang semangat dan dapat mempertahankan bekalan yang kami bawa dari
Kuala Lumpur," katanya.
Safiq
menjelaskan, dia kini sudah mula terbayang untuk menjulang Piala Suzuki AFF di
hadapan puluhan ribu penyokong lawan di Gelora Bung Karno.
Malah
bertambah manis, kejayaan skuad negara itu dapat dilakar di hadapan penyokong
fanatik Indonesia dan kejuaraan itu kelak merupakan yang pertama buat Safiq
sebagai kapten pasukan kebangsaan.
''Bayangan
menjulang trofi Piala AFF semakin berkobar-kobar dalam diri ini dan saya
semakin teruja untuk merealisasikannya.
''Tetapi,
masih ada 90 minit yang perlu kami selesaikan dan saya mahu rakan-rakan yang
diturunkan pada perlawanan esok (hari ini) memberi fokus kepada permainan dan
memperkuatkan mental untuk menghadapi tekanan menggila penyokong
Indonesia," jelasnya.
Pemain
Selangor itu juga tidak takut dengan provokasi yang dibangkitkan oleh
sebahagian besar penyokong Indonesia yang masih mengungkit isu penggunaan laser
ketika aksi di Kuala Lumpur.
''Kami semua
tidak ambil serius mengenai perkara itu kerana yang penting kemenangan Malaysia
bukan dibantu atas faktor laser sebaliknya memang berdasarkan hasil permainan
kami yang lebih baik daripada Indonesia," tegasnya. - Utusan
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dFTvrwP1
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan