ARKIB : 13/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Pemain skuad kebangsaan, Mohd.
Khyril Muhymeen Zambri (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan
persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
KUALA LUMPUR Menyedari
permainan pantas Vietnam, jurulatih K. Rajagobal mengingatkan pemain agar
jangan mudah hilang bola pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF Rabu ini.
Menurutnya, pemain tidak boleh
leka, sebaliknya cuba mengambil kesempatan melalui serangan balas pantas, demi
mencari bekalan selesa apabila bertanding di Hanoi, pada perlawanan separuh
akhir kedua.
Saya mahu pemain menggunakan
segala peluang, jangan mudah hilang bola, kerana ia mengundang bahaya. Kita
menentang skuad senior Vietnam yang muncul juara pada 2008, mereka sentiasa
menanti peluang kita melakukan kesilapan, katanya selepas perlawanan
persahabatan dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras
semalam.
Jelasnya, pemain juga perlu
memberikan yang terbaik, kerana beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium
Nasional Bukit Jalil.
Saya memberi peluang kepada
semua pemain beraksi hari ini (semalam). Saya lihat mereka mempunyai
kesungguhan.
Perlawanan ini memberi petunjuk
kepada saya mereka mempunyai keinginan untuk beraksi.
Saya sudah ada senarai pendek
kesebelasan utama, tetapi dengan pilihan pemain yang terhad, saya perlu
melakukan rumusan terbaik siapa yang akan diturunkan, katanya.
Pada perlawanan persahabatan
semalam, Malaysia menewaskan pasukan bimbingan Razip Ismail 2-0, hasil jaringan
Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-23, yang menolak masuk hantaran lintang Mohd.
Sabre Mat Abu. Gol kedua menerusi Mohd. Khyril Muhymeen Zambri melalui sepakan
penalti pada minit ke-40.
Perlawanan berlangsung selama 70
minit dengan Rajagobal menyenaraikan Mohd Sharbinee Alawee Ramli (penjaga gol),
Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Razman Roslan, Khairul Helmi Johari, Mohd.
Fadhli Mohd Shas, Mohd. Ashaari Shamsuddin, K. Gurusamy, Sabre, Mohd. Faizal
Abu Bakar, Mohd. Safee Mohd Sali, Amri.
Pada babak kedua, Rajagobal
menguji gandingan Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol), Mohd. Faizal Muhammad,
Mohd. Muslim Ahmad, Asraruddin, Mahali Jasuli, Amar Rohidan, Mohd. Safiq Rahim,
Mohd. Amirul Hadi Zainal, Khyril Muhymeen, Norshahrul Idlan Talaha, Izzaq Faris
Ramlan.
Sementara itu, Rajagobal
sependapat dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
bahawa kita tidak perlukan pemain luar, kecuali yang mempunyai pertalian darah
dengan Malaysia.
Saya tidak berhasrat untuk
melakukan proses demikian. Kita tidak tahu sejauh mana semangat jati diri
pemain ini untuk menyarung jersi kebangsaan.
Tindakan mengambil pemain luar
akan menutup peluang pemain tempatan untuk beraksi.Saya rasa ia tidak adil,
katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7dHUJzh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan