ARKIB : 04/09/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
negara mungkin terpaksa melupakan Piala Suzuki AFF, Disember ini sekiranya
mereka diundi bermain dan diletak sekumpulan dengan Indonesia.
Apatah lagi jika kerajaan
mengenakan dasar larangan ke negara itu gara-gara seriusnya gerakan
anti-Malaysia oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Kedutaan Besar
Malaysia.
Kemungkinan itu kini
dipertimbangkan dengan teliti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
berdasarkan perkembangan semasa di negara jiran tersebut kerana keselamatan
pasukan tidak boleh dipandang ringan apatah lagi apabila berdepan ribuan
penyokong fanatik tuan rumah.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Azzuddin Ahmad yang ditemui pada majlis berbuka puasa Majlis Sukan Negara di
Bukit Jalil, kelmarin berkata: "Sebarang tindakan termasuk mungkin
terpaksa menarik diri daripada bermain di Indonesia dalam Piala Suzuki AFF jika
diundi sekumpulan mereka, perlu sentiasa selari dengan dasar semasa kerajaan
Malaysia.
"Kami juga menyedari apa
sahaja pertembungan pasukan kedua-dua negara walau di gelanggang sukan sama ada
bola sepak mahupun badminton, sentiasa mempunyai risiko keselamatan dan mudah
dicemari insiden tidak diingini.
''Jadi soal keselamatan pasukan
kita akan sentiasa diutamakan.''
Bagaimanapun, jelasnya, nasib
yang lebih baik mungkin menyebelahi skuad negara sekiranya majlis undian Piala
Suzuki AFF pada 15 September ini di Hanoi nanti meletakkannya bermain di
Vietnam - tuan rumah bersama kejohanan bola sepak dwi tahunan peringkat senior
di rantau Asia Tenggara itu.
Beberapa kejadian tidak diingini
yang dicetuskan penonton turut pernah meletus ketika kejohanan anjuran
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini yang sebelumnya dikenali sebagai Piala
Tiger 2004, melibatkan perlawanan Malaysia-Indonesia sama ada di Gelora Bung
Karno, Jakarta mahupun Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Skuad negara bimbingan K.
Rajagobal baru sahaja mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan kelab Al
Jaish Qatar dan skuad kebangsaan Oman di Doha sebagai persediaan menghadapi
Piala Suzuki AFF dari 1 hingga 29 Disember ini.
Pencapaian Malaysia ialah
bergelar naib juara pada kejohanan sulung, 1996 di Singapura setelah kalah
tipis 1-0 kepada Thailand dan edisi ketujuh di Phuket, dua tahun lalu
menyaksikan anak buah B. Sathianathan ketika itu terkandas di peringkat
Kumpulan B lagi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5bmMlhCzo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan