Ahad, 20 Januari 2019

Fadhli tak lagi gentar berdepan Indonesia


ARKIB : 23/12/2010
KUALA LUMPUR - Nama Mohd. Fadhli Shas mungkin kurang dikenali berbanding rakan gandingannya di bahagian pertahanan, Mohd. Muslim Ahmad, yang terlebih dahulu mencuri perhatian pada aksi Sukan SEA Laos, tahun lalu.

Sepanjang beraksi bersama skuad Harimau Muda di Slovakia, kelibat anak muda dari Johor Bahru ini juga jarang ditonton, sama ada di stadium atau di televisyen.

Namun, siapa menduga rezeki buat dirinya apabila dipilih oleh jurulatih, K. Rajagobal di dalam kesebelasan utama apabila tiga tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Radzak, Norhafiz Zamani Misbah dan Nasriq Baharom mengalami kecederaan panjang.

Tambah membanggakan, Fadhli kini merupakan pemain paling muda dalam skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2010, di bahunya tersandar harapan untuk mengunci gerakan penyerang berbisa Indonesia, Cristian Gonzales.

Bakal bergandingan bersama Asraruddin Putra Omar serta Mahali Jasuli atau Sabre Mat Abu di bahagian pertahanan, Fadhli yang bakal menginjak ke usia 20 tahun pada 21 Januari ini, mahu membantu skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama.

''Saya dan rakan-rakan sudah tentu tidak mahu menoleh ke belakang lagi setelah mara ke final. Saya mahu menamatkan tahun 2010 ini dengan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF.

"Sebagai pemain paling muda, saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah dengan kejayaan membawa Malaysia menjulang piala ini buat kali pertama," ujar Fadhli, ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Bagi Fadhli, segala kesilapan yang dilakukan bersama rakan-rakan di barisan pertahanan ketika dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada peringkat kumpulan Piala AFF pada 1 Disember lalu, menjadi pengajaran yang cukup bermakna.

"Saya akui gementar ketika aksi sulung di Jakarta itu, apatah lagi berdepan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

"Namun kesilapan tersebut dijadikan pengajaran dan pengalaman cukup bermakna untuk saya memperbaikinya sedikit demi sedikit setiap perlawanan, " katanya..

Fadhli mengakui menyimpan impian untuk beraksi di luar negara, jika mendapat sebarang tawaran.

''Saya tidak kisah jika beraksi di liga sekitar Asia atau Eropah, apa yang penting saya boleh timba pengalaman dan mengembangkan karier saya di tahap lebih jauh, '' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5d9ZNW5Qu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan