Ahad, 20 Januari 2019

Malaysia mampu buat kejutan - Sathia


ARKIB : 23/12/2010
KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan B. Sathianathan (gambar) yakin, Malaysia mampu membuat kejutan apabila menentang Indonesia dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

"Saya yakin pasukan kita mempunyai peluang cerah pada saingan kali ini berdasarkan apa yang telah mereka tunjukkan sepanjang kejohanan ini.

"Untuk perlawanan Ahad ini, saya harap semua pemain dapat memberikan tumpan penuh dan mengikut apa yang diarahkan oleh jurulatih K. Rajagobal." ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau juga berharap dua pemain Kelantan yang beraksi bersama skuad kebangsaan pada kejohanan tersebut, terus memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir pertama itu nanti.

Menurutnya, beliau bangga dengan persembahan dua pemainnya, iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat, yang disifatkan telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan tersebut.

"Saya cukup gembira dengan apa yang telah ditunjukkan dan berharap mereka mampu mengekalkan aksi tersebut pada perlawanan akhir pertama.

"Inilah peluang terbaik buat Norshahrul dan Khairul Fahmi membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa," katanya.

Tambahnya, dia yakin dua pemainya itu mampu membantu skuad negara menjulang kejuaraan buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun 1996.

B.Sathianathan, yang pernah menjadi jurulatih kebangsaan bermula tahun 2006 sehingga tahun 2009 yakin, kedua-dua pemain itu mampu membantu skuad negara menjuang kejuaraan buat kali pertama.

Sementara itu, mengenai persiapan pasukannya, Red Warriors untuk saingan musim hadapan, Sathianathan menjelaskan semua perancangan berjalan dengan lancar.

Menurutnya, Kelantan akan mengadakan empat siri perlawanan persahabatan di Lembah Klang, bermula 27 Disember ini iaitu menentang Harimau Muda, diikuti PKNS, Felda United dan Sime Darby.

"Perlawanan persahabatan ini akan menjadi medan buat saya untuk memilih skuad bayangan, bagi menghadapi saingan musim hadapan," ujarnya.

Tambahnya, inilah peluang terbaik buat semua pemain untuk membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk menggalas cabaran musim hadapan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5d9YR8r9j
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan