ARKIB : 18/08/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Skuad bola sepak
bawah 23 tahun negara berkemungkinan besar bakal diuji pasukan kebangsaan Oman
dalam satu perlawanan persahabatan pada 3 September ini.
Perkara itu dinyatakan oleh
jurulatih, K. Rajagobal yang berkata perlawanan tersebut bakal dilangsungkan di
Doha, Qatar.
"Perlawanan ini adalah salah
satu daripada tiga perlawanan persahabatan yang sedang dirancang dalam tempoh
latihan fasa kelima kali ini.
''Antara perlawanan lain yang
saya sedang aturkan ialah berdepan kelab Perancis, Etoile FC yang beraksi di
Liga Singapura pada 23 Ogos ini dan bertemu dengan Thailand pada 28 Ogos ini.
''Namun, kedua-dua perlawanan itu
masih belum dapat diputuskan jadi atau tidak termasuk gelanggang pertemuan,
sama ada di sini atau di tempat lawan, mungkin esok atau lusa, baru saya boleh
mengesahkan, '' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.
Berdasarkan ranking terbaru di
laman web rasmi FIFA, skuad negara dijangka berdepan cabaran getir kerana Oman
pada masa kini berada di ranking 81 dunia.
Sebelum itu, Rajagobal berkata,
dia telah mengambil keputusan membatalkan aksi di China yang dijadualkan dari
28 Ogos hingga 6 September ini.
"Antara sebab pembatalan itu
kerana saya tidak mendapat mengaturkan perlawanan persahabatan dengan pasukan
yang kompetitif walaupun kemudahan di sana cukup baik,'' jelasnya.
Seramai 26 pemain mendaftar diri
ke latihan pusat fasa kelima skuad negara yang bermula pada 16 Ogos ini dan
akan berakhir pada 7 September.
Majoriti pemain terdiri daripada
pemain sama yang dipanggil bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan skuad
bawah 21 tahun Korea Selatan pada 25 Julai lepas.
Daripada jumlah tersebut,
kira-kira 10 pemain terdiri daripada skuad Harimau Muda termasuk penjaga gol,
Zamir Selamat yang menggantikan S. Sasikumar ekoran kemalangan jalan raya dan
Izzaq Faris Ramlan.
Hanya Ahmad Shakir Md. Ali dan
penjaga gol Perlis, Farizal Marlias tidak dipanggil menjalani latihan bersama
skuad kebangsaan pada kali ini. Farizal terpaksa berehat selama tiga bulan
selepas patah tulang pipi.
Dalam pada itu, Rajagobal
mengakui dia berasa lega kerana tiada pemain yang mengalami sebarang kecederaan
serius pada latihan pusat pertama skuad negara.
Menurutnya, berdasarkan
pemerhatian hari pertama, beliau berpuas hati dengan tahap kecergasan para
pemain walaupun terpaksa berlatih di dalam bulan Ramadan.
''Latihan pada bulan puasa ini
amat perlu kerana kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk berkumpul dan
berlatih bersama selepas berakhir Piala Malaysia pada penghujung Oktober ini,''
katanya yang ditemui pada sesi latihan , kelmarin.
Sementara itu, Rajagobal berkata,
skuad negara akan menyertai Piala Ho Chin Minh yang bakal menjadi ujian
terakhir sebelum berangkat ke Sukan Asia di Guangzhou.
''Iran, Singapura dan tuan rumah,
Vietnam yang bakal menurunkan skuad Bawah 23 tahun akan menjadi pencabar kita
dalam kejohanan itu yang dijangka berlangsung dari 26 September ini hingga 3
Oktober,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5bk5GymeA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan