Sabtu, 19 Januari 2019

Rajagobal puas hati ikat Thailand


ARKIB : 05/12/2010
Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my
JAKARTA – Satu mata yang dipungut tetap berharga buat jurulatih, K. Rajagobal setelah berjaya mengikat Thailand tanpa jaringan pada perlawanan kedua Piala AFF di Stadium Utama Bung Karno di sini, semalam.

Mata itu diharap menjadi azimat pembakar semangat pemain muda yang sebelum ini longlai diratah tuan rumah Indonesia 1-5.

Rajagobal berkata, aksi anak buahnya cukup baik kerana menunjukkan semangat kental untuk melawan walaupun terpaksa berdepan asakan Thailand yang bertali arus.

‘‘Kita mempunyai tiga peluang yang baik untuk menjaringkan gol tetapi ia gagal direalisasikan oleh pemain.

‘‘Walaupun saya cuba mengubah corak permainan pada separuh masa kedua dengan membuat serangan awal, tetapi pemain saya terus dipaksa berkampung di kawasan sendiri oleh pasukan lawan.

‘‘Namun, kita ada juga ada melakukan beberapa serangan pantas melalui sayap kiri dan kanan yang banyak kali mencemaskan kubu Thailand,’’ kata Rajagobal.

Keputusan seri itu meletakkan Malaysia kekal berada di tangga terakhir dengan satu mata berkongsi kedudukan dengan Laos sementara Thailand memungut dua mata dan akan berdepan tugas berat untuk mengalahkan Indonesia.

Selepas ini Malaysia akan bertemu Laos dalam perlawanan terakhir di Palembang. – Mingguan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5d7EThZQh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan