Khamis, 24 Januari 2019

Kita ada ramai penggempur

ARKIB : 11/02/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
AHMAD Fakri Saarani (kanan) berjaya memikat hati K. Rajagobal dengan aksi lincahnya ketika membantu Malaysia membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Malaysia memiliki banyak pilihan penggempur berbisa yang kini berada pada tahap terbaik, kata jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal selepas melihat prestasi pasukannya ketika membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan, kelmarin.

Katanya, empat penyerang, Mohd. Safee Mohd. Sali, Ahmad Fakri Saarani, Norshahrul Idlan Talaha dan Shahrizal Mohd. Saad bermain dengan baik walaupun mereka tidak menghadiahkan gol dalam perlawanan tersebut.

Pada perlawanan kelmarin, Malaysia berjaya menjinakkan Hong Kong 2-0 hasil jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-44 dan sayap kanan, Mohd. Amirulhadi Zainal, minit ke-91.

''Mereka bermain dengan baik selain dapat melakukan beberapa percubaan ketika perlawanan berlangsung.

''Saya yakin mereka mampu memperbaiki kelemahan yang ada sekiranya dapat menyertai beberapa lagi perlawanan kompetitif seperti ini.

''Malah semangat yang dipamerkan oleh pemain juga amat tinggi walaupun ada penyerang kita iaitu Norshahrul masih belum sepenuhnya berada dalam kecergasan terbaik,'' kata Rajagobal.

Sementara itu, jurulatih Hong Kong, Tsang Wai Chung turut mengakui permainan yang dipamerkan skuad kebangsaan amat baik berbanding pasukannya.

''Pada separuh masa pertama Malaysia membuatkan kami berada dalam tekanan sehingga sukar untuk fokus sepenuhnya.

''Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan pemain kami terutama mereka yang bermain di posisi pertahanan,'' jelas Wai Chung.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dW1R9A3E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan