Ahad, 20 Januari 2019

Gol tempat lawan penting - Rajagobal

ARKIB : 18/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
Norshahrul Idlan Talaha melarikan bola dari pemain pertahanan Vietnam. Malaysia berjaya menewaskan pasukan Vietnam 2-0 pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Rabu lalu. - UTUSAN/Shahril Azman Zain

SEPANG - Tidak ada apa yang bermain di fikiran jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam hari ini, kecuali mencari gol di tempat lawan.

Rajagobal sedar gol di tempat lawan bakal mencerahkan lagi peluang anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran memperoleh gol ketika berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, percaturan strategi yang tepat adalah amat penting agar Malaysia tidak terkulai di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

"Saya perlu melakukan strategi yang betul, saya akan memilih dengan tepat sama ada mahu mengekalkan corak yang sama ketika perlawanan separuh akhir pertama ataupun bertahan. Semua ini akan dibincang dengan sebaiknya bersama penolong saya, pengurus pasukan dan pemain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi, kelmarin.

Jelasnya, hasil daripada perbincangan tersebut akan menentukan siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama dan corak permainan apa yang hendak diguna pakai, semuanya adalah untuk menghalang Vietnam daripada bangkit di laman sendiri.

"Bagaimanapun, saya sudah berpesan kepada pemain tugas berat menanti mereka menjelang perlawanan di Hanoi Sabtu ini (hari ini), Vietnam sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi. Saya berharap pemain dapat memikul tanggungjawab sebaik mungkin.

"Saya lihat keyakinan pemain semakin tinggi, bagaimanapun mereka harus sedar kelebihan dua gol bukannya bererti kita sudah berada pada zon selesa, sekurang-kurangnya kita perlu cari lagi dua gol dan pada masa sama bertahan sebaik mungkin," katanya.

Pada pertemuan separuh akhir pertama, Rabu lalu Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-0, hasil dua gol daripada pemain penyerang, Safee Sali pada minit ke-65 dan 83.

"Saya juga tidak mahu pemain memikirkan tentang peristiwa lalu baik dibelasah Indonesia 1-5, mahupun ketika separuh akhir Piala Tiger 2004, apabila Malaysia mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Bung Karno, Jakarta sebelum tewas 1-4 juga kepada Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya mahu mereka fikirkan tentang masa sekarang, perkara yang lalu biarkan berlalu. Ia tidak sama seperti sekarang, baik dari jurulatih mahupun pemain. Saya mahu mereka fokus dan jangan lepaskan peluang terbaik ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d8Kw63Ce
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan