ARKIB : 22/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
k. Rajagobal memberi arahan
kepada Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan pasukan kebangsaan di Kelana
Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR - Kelibat dua pemain
sayap Indonesia, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan bersama pemain import
mereka, Cristian Gonzales akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan
Malaysia.
Itu janji jurulatih skuad
kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF
menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
''Berdasarkan analisis, Saya
melihat mereka pemain yang boleh menghadirkan ancaman serius kepada kami jika
diberikan ruang untuk bergerak bebas.
''Saya ada perancangan khusus
untuk mengikat mereka dan jika itu berjaya, kami mampu bermain mengikut apa
yang saya rancangkan dan itu mampu berikan kelebihan buat kami.
''Saya harap para pemain boleh
mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan
selesa sebelum bermain pada perlawanan kedua.
''Selain mereka, saya lihat ketua
pasukan Indonesia, Firman Utina dan Ahmad Bustomi juga antara pemain yang
bagus, '' katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam.
Skuad negara kembali menjalani
latihan semalam, selepas diberi pelepasan dua hari oleh Rajagobal, sejurus
pulang dari Hanoi, Ahad lalu.
Namun dua pemain, Khyril Muhymeen
dan Mohd. Amirulhadi Zainal tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain menjalani
latihan, kerana cedera lutut.
Rajagobal berkata, dua pemain
tersebut berlatih di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dia masih belum
pasti sejauh mana tahap kecederaan pemain Kedah dan Selangor itu.
''Khyril ada masalah di lutut
kanan sementara Amirulhadi pada lutut kiri, tetapi saya lihat tidak serius.
Saya akan lihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa, '' katanya.
Selain itu, Rajagobal berharap
tiga pemain, Safee Sali, Mahali Jasulli dan Amirulhadi dapat mengelakkan
daripada mengutip kad kuning kedua pada final pertama, supaya dapat beraksi di
Stadium Gelora Bung Karno pada final kedua.
''Mereka bertiga masing-masing
sudah mendapat satu kad kuning perlawanan separuh akhir berdepan Vietnam.
''Saya harap mereka berhati-hati
semasa bertemu Indonesia di Stadium Nasional nanti supaya tidak digantung pada
perlawanan seterusnya, '' katanya.
Skuad bimbingan Rajagobal akan
berdepan Felda United di Wisma FAM pada aksi persahabatan pada pukul 8 malam
ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5d9PPATxh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan