Isnin, 21 Januari 2019

Pemain jangan tertekan


ARKIB : 26/12/2010
Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
sukan@utusan.com.my
KUANTAN - Para penyokong tempatan digesa menunjukkan semangat patriotisme dengan memberikan sokongan padu terhadap skuad bola sepak kebangsaan pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, mereka juga perlu mempamerkan disiplin ketika menyaksikan perlawanan itu dan tidak bertindak di luar batasan yang boleh memberi gambaran tidak baik.

''Para penyokong Malaysia perlu memberi sokongan padu. Jangan berbelah bahagi. Jangan 'boo' pemain kita jika melakukan kesilapan dan lebih penting harus bersabar.

''Bagaimanapun setakat ini saya melihat penyokong Malaysia adalah yang terbaik dan kekalkan prestasi itu pada perlawanan akhir esok (hari ini)," tegas Tengku Abdullah.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Tanjung Api di sini, semalam.

Katanya, skuad bola sepak negara di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal perlu menyambar peluang keemasan pada perlawanan akhir tersebut.

Jelasnya, kemenangan dengan jumlah gol yang selesa akan membolehkan skuad negara beraksi di bawah tekanan di Indonesia pada 29 Disember ini.

"Saya berharap mereka tidak tertekan kerana daripada awal kejohanan hingga kini, skuad negara merupakan pasukan underdog.

"Pemain negara akan cuba bermain sebaik mungkin dan memberi satu saingan hebat kepada Indonesia bagi meraih kemenangan pada perlawanan itu," ujar Tengku Abdullah sambil menjangkakan Malaysia dapat memperoleh kemenangan 3-0.

Ditanya mengenai beberapa pemain utama Indonesia yang mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan nanti, Tengku Abdullah berkata, perkara itu tidak boleh diambil kira tetapi kekuatan pasukan dan cara corak permainan mereka merupakan penentu segalanya.

"Kita tidak perlu risau siapa yang cedera tetapi kita perlu menentukan corak permainan yang lebih kemas dan berkesan serta menjaringkan gol sebanyak mungkin," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah berkata, imbuhan akan tetap diberikan kepada pemain jika mereka beroleh kemenangan.

Setakat ini jelasnya, sebanyak RM500,000 berjaya disalurkan daripada FAM dan individu tertentu dan jumlah itu akan ditambah sekiranya memenangi perlawanan akhir kedua di Indonesia nanti.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dEq9oip9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan