Jumaat, 30 Jun 2017

Norfarhan ganti Safee ke Pestabola Merdeka



ARKIB : 09/08/2006
KUALA LUMPUR – Pemain sayap muda Terengganu, Norfarhan Mohamad mendapat kepercayaan jurulatih Malaysia, Norizan Bakar untuk bermain sebagai penyerang pada Pestabola Merdeka ke-38 dari 23 hingga 29 Ogos ini.

Dia yang menyumbat enam gol sepanjang persaingan bola sepak Piala Malaysia ketika ini, diharapkan mampu mengisi kekosongan penyerang Sarawak, Safee Sali yang terpaksa berehat kerana kecederaan lutut.

Sepanjang siri perlawanan persahabatan antarabangsa, Safee menyumbat satu gol ketika Malaysia kalah 1-2 kepada New Zealand di Auckland, Februari lalu malah menjadi pemain tumpuan ketika menentang Singapura, Mei dan Jun lalu.

Norfarhan yang juga pemain skuad Bawah 23 Tahun negara, dijangka digandingkan dengan pemain senior kebangsaan dari Pahang, Indra Putra Mahyuddin atau penyerang Telekom Melaka, Rudie Ramli.

‘‘Tanpa Safee, pilihan saya untuk mencari penyerang negara semakin terhad terutama berdasarkan siapa yang sentiasa bermain dalam kesebelasan utama pada Piala Malaysia,’’ katanya.

‘‘Persembahan Norfarhan tampak semakin menyerlah ketika ini dan peluang wajar diberikan kepadanya tetapi sebagai penyerang,’’ kata Norizan yang masih memiliki seorang lagi calon penyerang, Saramsak Kram dari Kedah.

Norizan mengadunkan beberapa pemain senior dan dari skuad Bawah 23 bagi menghadapi Pestabola di Stadium Shah Alam yang dihidupkan semula sejak 2001 dengan menampilkan Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Ketika ini, dia memiliki 22 pemain termasuk dengan kepulangan penjaga gol muda Perak, Nasril Nourdin selepas kali terakhir mengadakan sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 1 Ogos lalu.

‘‘Saya perlu mengadunkan ramai pemain Bawah 23 kerana mengambil kira sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Asia ke-15 di Doha, Qatar (1 hingga 15 Disember ini),’’ katanya.

Menurut Norizan, benteng negara masih memerlukan khidmat dua tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah (Pahang) dan Khaironnisam Shahabuddin Hussain (MPPJ).

Khidmat mereka bagaimanapun hanya mampu diperoleh 14 Ogos ini sebelum menentang Indonesia yang dijangka diperkuatkan pemain Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy serta Ponaryo Astaman (Telekom).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4lUcgwn3D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kim Swee pilih kesebelasan utama selepas Aidilfitri



24 Jun 2017 3:00 AM

MELAKA 23 Jun – Pengendali skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee akan menentukan kesebelasan utama pasukannya bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata pemilihan barisan pemain itu akan dilakukan setelah selesai sesi latihan fasa kedua yang akan diadakan selepas sambutan Hari Raya ini.

“Kami akan memanggil semula pemain pada 5 Julai, dan buat masa ini masih terlalu awal bagi saya membuat keputusan untuk memilih pemain,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.

Melaka United beraksi cemerlang apabila membelasah skuad B-22 negara 5-1 dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Kim Swee berkata beliau akan menamakan kesebelasan utama skuad muda negara itu sebelum beraksi dalam Pusingan Kelayakan AFC B-23 di Bangkok, Thailand bulan depan.

“Senarai akhir akan hanya kita umumkan dalam latihan terakhir sebelum kita bertolak ke Bangkok pada 17 Julai,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Kim Swee berkata anak buahnya kepenatan setelah mengharungi jadual padat ketika menjalani latihan selama lapan hari di China, baru-baru ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-pilih-kesebelasan-utama-selepas-aidilfitri-1.496505#ixzz4lTYJnDrT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Vingada cari muka baharu



Bentuk skuad terbaik Harimau Malaya sebelum jumpa Hong Kong
  NELO VINGADA
NELO VINGADA

Rozaidi Zulkifli

30 Jun 2017 3:00 AM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More

KUALA LUMPUR 29 Jun - Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada mahu mengintai beberapa muka baharu bagi membentuk pasukan terbaik sebelum bertemu Hong Kong dalam aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato Haji Yunos Larkin, 5 September depan.

Kata Vingada, dia akan memulakan pencarian esok apabila Liga Malaysia (Liga M) bersambung selepas le­bih sebulan berehat untuk melihat perkemba­ngan pemain dalam Liga Super dan Perdana.

Turut mencuri tum­puan pengendali kelahiran Portugal itu adalah barisan pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) yang bakal mengharungi dua kejohanan pen­ting iaitu Pia­la Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand bermula 19 Julai dan Sukan SEA, Ogos nanti.

Vingada mengakui, berminat dengan beberapa tonggak skuad B-22 tetapi enggan mendedahkan nama pemain tersebut.

Katanya, dia tidak mahu menjejaskan fokus jurulatih skuad muda negara, Datuk Ong Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukan itu untuk menghadapi dua pertandingan penting.

“Anda semua tahu banyak perlawanan akan berlangsung termasuk liga.

“Saya dan staf (kejurulatihan) tidak akan melihat kepada (keputusan) perlawanan tetapi lebih kepada mencari pemain kerana saya mahu memenuhi keperluan pasukan ini. Kami akan berusaha untuk mendapatkan pemain yang boleh dibawa.

“Saya juga melihat skuad B-22 memiliki empat atau lima pemain yang bagus tetapi mereka akan bermain di Thailand, diikuti kejohanan penting Sukan SEA memandangkan Malaysia tampil sebagai pasukan tuan rumah.

“Mungkin saya berdepan sedikit kesukaran untuk membawa mereka dalam pertemuan menentang Hong Kong tetapi saya akan terus mengikuti pemain-pemain yang beraksi dalam liga.

“Saya yakin, sebaik sahaja semua pertandingan berakhir, saya bakal mendapat visi yang lebih baik untuk memilih pemain kerana kami perlu menang ke atas Hong Kong nanti,” katanya.

Vingada ditemui pada majlis rumah terbuka Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di Shah Alam, hari ini.

Katanya lagi, skuad Harimau Malaya juga akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dalam masa terdekat bagi membentuk kesebelasan terbaik, selain terdesak meraih kemena­ngan ke atas Hong Kong.

Dalam perlawanan pertama Kumpulan B pada 13 Jun lalu, skuad negara tewas tipis 1-2 kepada Lebanon.

“Walaupun perlawanan menentang Lebanon bukan aksi yang bagus dan tidak sempurna tetapi kami mahu tampil lebih positif.

“Kami bercadang untuk bermain dalam dua perlawanan persahabatan tetapi saya masih belum putuskan lagi (pasukan lawan).

“Apa yang penting, kami perlu menurunkan kesebelasan terbaik ketika menentang Hong Kong nanti kerana kami harus menang,” ujarnya

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/vingada-cari-muka-baharu-1.497480#ixzz4lTRkSHtW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 29 Jun 2017

FAM mahu berguru di Brazil -- Dalam usaha merealisasikan impian ke Piala Dunia 2018



ARKIB : 30/07/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Sasaran layak ke Piala Dunia 2018 ternyata bukan satu angan-angan Mat Jenin oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana perancangan membentuk pemain ke arahnya telah dibuat sejak minggu lalu untuk menjadikan Brazil sebagai ‘mentor’ terbarunya.

Dalam kunjungan sempena Kejohanan Jogos do Taca BH Futebol Junior di Minais Gerais, Brazil, baru-baru ini, FAM turut mengorak langkah untuk menjalinkan kerjasama dengan negara kuasa bola sepak dunia itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya telah berunding untuk menempatkan sebuah pasukan kebangsaan berlatih dalam tempoh yang panjang di salah satu dari dua bandar yang terpilih.

“Kami sudah mengenal pasti akademi bola sepak milik bekas jurulatih Jepun dan legenda Brazil, Zico (Clube de Futebol Zico Sociedade Esportiva - CFZ) di Rio de Janeiro dan satu lagi di Cruzeiro untuk menempatkan skuad ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Zico yang tidak pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain Brazil pada pusingan akhir kejohanan 1978, 1982 dan 1986, menubuhkan CFZ pada 12 Julai 1996 sebelum membuka cawangan baru di Brasilia pada 1 Ogos 1999.

Menurut beliau, akademi bola sepak Zico itu juga pernah menjadi destinasi pasukan kebangsaan Jepun seketika sebelum bekas barisan bimbingannya itu beraksi pada Piala Dunia di Jerman, baru-baru ini.

“Khabarnya, pasukan Korea Selatan juga pernah berlatih di Cruzeiro - sebuah lagi tempat yang kami terokai ketika ke Belo Horizonte, Minais Gerais, baru-baru ini,” kata Ibrahim yang menyertai skuad Bawah 20 Tahun Malaysia bimbingan K. Rajagopal.

Skuad ini yang bakal menghadapi Kejohanan Belia Asia di India, Oktober ini, hanya seri sekali dengan kelab Ponte Itauna selain tewas selebihnya kepada Santos, Flamengo, America dan Guarani dari 13 hingga 20 Julai lalu.

Bagaimanapun, kata Ibrahim, banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum mencontohi China yang pernah menghantar skuad bawah umurnya ke Brazil untuk menghadapi Sukan Olimpik dan Kejohanan Belia Dunia 1997 terutama sekali soal kewangan.

“Dari segi bahasa nampaknya tiada masalah kerana kebanyakan jurulatih di sana boleh berbahasa Inggeris cuma kos perlu dikaji kerana kami mahu menghantar sebuah pasukan terus dan bukannya seorang dua pemain,” katanya.

Sebagai rekod, FAM pernah mengupah dua jurulatih dari Brazil, Jorven Vieira dan Silvio Sergio Machado untuk mengendalikan skuad Bawah 20 Tahun dan futsal negara, kira-kira dua tahun lalu tetapi ‘jodoh’ mereka tidak berpanjangan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lNvDZNX1
© Utusan Melayu (M) Bhd

B-23 lepas peluang tentang Tenario



ARKIB : 29/07/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23 Tahun yang bakal menghadapi Sukan Asia Doha, Disember ini, melepaskan peluang pendedahan dengan bintang Piala Dunia Ecuador, Carlos Tenario apabila menarik diri daripada Piala Antarabangsa Bandar Raya Petaling Jaya, bulan depan.

Keputusan itu diumumkan oleh ketua jurulatihnya, Norizan Bakar selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan Sri Lanka 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia dikatakan mengambil keputusan mengejut itu atas alasan kesukaran memperoleh pemain yang diperlukan bagi menghadapi kejohanan empat penjuru tersebut dari 8 hingga 14 Ogos ini di Stadium Petaling Jaya.

Piala Antarabangsa Bandar Raya Petaling Jaya bakal menyaksikan kemunculan kelab Qatar, Al Sadd yang memiliki Carlos Tenario - penjaring dua gol untuk Ecuador ketika menentang Poland dan Costa Rica dalam Piala Dunia di Jerman, baru-baru ini.

Dua lagi pasukan yang diundang memeriahkannya ialah kelab Liga Perdana, Shahzan Muda Pahang dan Balestier Khalsa dari Liga Singapura yang mengecewakan skuad Bawah 20 Tahun Malaysia dalam Piala Singapura, awal tahun ini.

Pestabola Merdeka

Norizan berkata, anak-anak buahnya hanya akan dikumpulkan semula pada 2 Ogos ini bagi membuat persediaan menghadapi Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam dari 23 hingga 29 Ogos.

“Saya akan mengadunkan pemain skuad ini dan beberapa lagi pemain senior,” katanya, merujuk persediaan ke kejohanan yang dihidupkan semula selepas terhenti sejak 2001 dan bakal disertai Thailand, Indonesia dan Myanmar itu.

Bagi Sukan Asia yang khusus bagi bawah 23 tahun, setiap pasukan masih boleh menggunakan tiga pemain senior dengan Malaysia dijangka menurunkan sama ada Indra Putra Mahyuddin, K. Nanthakumar, Norhafiz Zamani Misbah atau Khaironnisam Sahabuddin Hussain.

Khaironnisam turut menjaringkan gol ketika menewaskan Sri Lanka, Rabu lalu manakala Indra Putra semakin mendapat kepercayaan Norizan sejak kembali mewakili negara menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan timbal balik, Mei dan Jun lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4lNhSJX8Y
© Utusan Melayu (M) Bhd