ARKIB : 13/04/1999
TENGKU Abdullah (kiri)
menyerahkan replika cek kepada Titus James yang bakal berlatih bersama kelab
bola sepak Perancis, Le Havre sambil diperhatikan Yap Nyim Keong dan kedua ibu
bapa pemain itu di Kuala Lumpur, semalam.
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) meletakkan sasaran layak ke perlawanan akhir dan sekurang-kurangnya
meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.
Timbalan Presidennya, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sasaran itu dikira bertepatan dengan
kehendak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sebelum ini meminta FAM memaklumkan
sasaran mereka sebelum menyenaraikan acara bola sepak ke temasya dwitahunan
itu.
''Saya rasa bola sepak kita
masih punya harapan dan saya rasa kita perlu hantar pasukan kebangsaan kita di
Brunei bukan sahaja dengan sasaran itu tetapi untuk mendapatkan pendedahan.
''Kita tentu mempunyai sasaran
untuk menang jika kita menyertai sesuatu kejohanan... saya rasa sasaran itu
mampu memuaskan hati MOM,'' katanya selepas majlis penyerahan cek tajaan FAM
kepada pemain remaja negara, Titus James yang akan ke Perancis di pejabat
beliau di Kuala Lumpur, semalam.
Tengku Abdullah berkata
demikian sebagai reaksi balas FAM yang diminta MOM sebelum ini mengenai sasaran
FAM sebelum acara bola sepak disenaraikan ke Brunei.
Presiden MOM, Tunku Imran
Tuanku Ja'afar sebelum ini berkata, MOM mahu tahu sasaran FAM bagi memudahkan
badan induk sukan negara itu menyenaraikan acara bola sepak.
Tengku Abdullah berkata, bola
sepak di negara ini terutama bagi pasukan kebangsaan yang baru dibentuk di
bawah kendalian jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, perlukan pendedahan sebelum
menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia, tahun depan.
Penyertaan skuad negara ke
Brunei katanya, adalah sebagai usaha memberi pendedahan kepada skuad itu.
''Jika kita tidak hantar
pasukan ke temasya itu, saya kira ia satu kerugian kerana dari situlah kita
boleh dapatkan pengalaman untuk kembali membentuk pasukan yang baik.
''Penyertaan kita juga dapat
meningkatkan lagi persahabatan dengan negara-negara ASEAN lain,'' ujarnya.
Menurut Tengku Abdullah, banyak negara lain dalam rantau ASEAN yang belum maju
bola sepaknya tetapi masih menghantar pasukan ke temasya itu.
''Kita juga harus menghantar
pasukan... bukan sahaja bola sepak tetapi sukan-sukan lain yang belum maju di
negara kita,'' katanya.
Terdahulu, FAM semalam
menyerahkan cek berjumlah RM10,000 kepada Titus sebagai bantuan perbelanjaan
pemain itu menimba ilmu bola sepak bersama kelab Divisyen Satu Perancis, Le
Havre selama sebulan.
Titus, pelajar sekolah La Salle
Brickfields di Kuala Lumpur berumur 13 tahun, merupakan seorang daripada empat
pemain remaja Malaysia yang dipilih bermain dalam perlawanan pembuka tirai
membabitkan pemain remaja dari seluruh dunia pada Piala Dunia 1998 di Perancis,
Jun tahun lalu.
Titus adalah seorang daripada
berpuluh-puluh pemain remaja dari seluruh dunia yang dipilih oleh ejen mengesan
bakat pemain muda dari Perancis untuk menyertai akademi bola sepak kelab Le
Havre yang mana kelab itu akan memilih 20 pemain terbaik untuk latihan
selanjutnya.
Jika pemain itu terpilih, dia
berpeluang untuk beraksi bersama kelab-kelab lebih gagah di Perancis seperti
Monaco, Olympique Marseille dan Bordeaux.
Titus, yang pernah bermain
untuk Kuala Lumpur dalam kejohanan bawah 12 tahun kebangsaan, akan ditemani
bapanya, James Palani selama sebulan di Perancis dengan perbelanjaan ditanggung
oleh FAM. Pemain itu akan berlepas ke Perancis, hari ini
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RUANn1hM
© Utusan Melayu (M) Bhd