Rabu, 30 Januari 2019

Malaysia jatuh enam tangga ranking FIFA


 ARKIB : 15/04/2011
KUALA LUMPUR - Ketiadaan perlawanan persahabatan berkelas A sepanjang Mac lalu jelas memberikan kesan negatif kepada skuad bola sepak kebangsaan dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin.

Berdasarkan semakan, Malaysia yang berada di tangga ke-138 pada 9 Mac lalu sekadar berada di tempat ke-144 pada kali ini, menandakan kemerosotan enam anak tangga dan itu merupakan kali pertama ranking Harimau Malaya mengalami kejatuhan semenjak November tahun lalu.

Malahan, di kalangan negara Asia, Malaysia juga mengalami kejatuhan tiga anak tangga apabila berada di tangga ke-24 berbanding ke-21 pada bulan lepas sementara bagi rantau Asia Tenggara, skuad negara masih kekal di belakang Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Walaupun begitu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan kedudukan ranking itu tidak melambangkan apa-apa pada prestasi terkini negara.

"Dari segi ranking FIFA, mungkin kita jatuh kerana tidak dapat bermain sebarang perlawanan persahabatan berkelas A namun bagi saya itu bukan keutamaan.

"Kita sendiri boleh perhatikan, semenjak kita menjuarai Piala Suzuki AFF lalu, prestasi kita masih konsisten dan tidak pernah kalah dalam dua perlawanan persahabatan terakhir lalu.

"Apa yang lebih mustahak dalam masa terdekat ini ialah jurulatih dan pemain mengekalkan prestasi positif menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2014," katanya.

Aksi persahabatan Malaysia bertemu Etoile FC yang menyaksikan Harimau Malaya seri 1-1 pada 26 Mac lalu di Stadium Jalan Besar, tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada FIFA kerana ia bukan membabitkan perlawanan antara skuad negara berkelas A.

Sebagai rekod, pencapaian tertinggi Malaysia di dalam ranking FIFA ialah mendapat tempat ke-75 pada bulan Ogos 1993 dan kedudukan terendah ialah berada di tempat ke-170 pada April 2008
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e662TvS1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 Januari 2019

Rajagobal tidak mahu bersikap ghairah


ARKIB : 31/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Seperti diramal, pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal enggan mahu bersikap terlalu yakin biarpun undian memperlihatkan Malaysia mempunyai peluang cerah untuk layak sekurang-kurangnya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014.

Berdepan dengan dua lawan yang mempunyai ranking lebih rendah dalam perjalanan mara ke pusingan ketiga, jurulatih berusia 56 tahun itu tetap menganggap ia bukan satu tugasan yang mudah.

''Saya tahu apabila melihatkan undian ini, ramai yang fikirkan kita mempunyai peluang untuk melangkah jauh sehingga ke pusingan ketiga kelayakan.

''Namun, saya ingatkan kita jangan terlalu ghairah untuk memikirkan pertemuan dengan Singapura, kita mesti menyelesaikan misi menewaskan Taiwan terlebih dahulu," katanya yang ditemui media selepas sesi undian kelayakan Piala Dunia 2014 di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, semalam.

Jelas Rajagobal, Taiwan yang berada di ranking 147 dunia bukanlah lawan yang boleh dipandang rendah kerana mempunyai gaya permainan sama seperti China dan Hong Kong, lawan ditemui Harimau Malaya pada 9 Februari lalu.

''Setakat ini perlawanan persahabatan dengan Hong Kong yang dijadualkan pada 3 Jun ini di sana akan menjadi salah satu medan terbaik sebagai persiapan menghadapi Taiwan," jelasnya

Pada masa sama, Rajagobal juga memberitahu, dia tidak berdepan masalah untuk menggunakan khidmat pemain Harimau Muda A yang turut beraksi di kelayakan Olimpik.

''Selepas perlawanan dengan Hong Kong nanti, saya akan melepaskan pemain Harimau Muda untuk mengikuti latihan pusat skuad Olimpik yang berdepan Lebanon pada 19 Jun," ujarnya.

Dia juga menyatakan hasrat untuk mengaturkan perlawanan persahabatan dengan Singapura tidak kesampaian ekoran keputusan undian yang akan mempertemukan kedua-dua pasukan di pusingan kedua.

''Sebelum sesi undian berlangsung, saya ada berjumpa dengan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic dan mahu mengadakan perlawanan persahabatan pada Jun ini.

''Tetapi apabila keputusan undian yang menunjukkan kita berkemungkinan menentang Singapura di pusingan kedua maka saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut," katanya.

Rajagobal juga sempat berpesan buat peminat setia negara agar bersikap realistik dengan kekuatan skuad kebangsaan jika berharap mahu Malaysia layak ke Piala Dunia 2014 kerana sasaran jangka panjang adalah untuk layak ke Piala Asia 2015.

''Saya anggap kelayakan Piala Dunia adalah pendedahan terbaik buat semua pemain mendapatkan pengalaman beraksi dan misi saya adalah mahu pemain melakukan yang terbaik, " katany SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dyyfK1cc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 28 Januari 2019

Undian kali ini memihak Malaysia


ARKIB : 31/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Shin Man Gil mencabut undian tertera nama Malaysia pada majlis cabutan undian Kelayakan Piala Dunia 2014 di Rumah AFC, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Taiwan pada pusingan pertama. – UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed

KUALA LUMPUR – Tuah ternyata memihak Malaysia dalam undian Kelayakan Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2012 apabila mendapat laluan agak mudah selepas undian yang dibuat di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Nama Malaysia yang dicabut sebagai pasukan pertama pada sesi undian Kelayakan Piala Dunia 2014 oleh Shin Man Gil selaku Pengarah Pertandingan Pasukan Kebangsaan AFC memperlihatkan Harimau Malaya bakal berdepan dengan lawan yang berada di ranking ke-40 Asia, Taiwan pada pusingan pertama.

Selesai sahaja sesi undian pusingan pertama, suasana bilik undian sedikit gamat di kalangan media Malaysia apabila pasukan jiran, Singapura bakal menjadi lawan Harimau Malaya jika anak-anak buah K. Rajagobal di pusingan kedua jika dapat melepasi cabaran Taiwan.

Keputusan undian itu ternyata melegakan buat kem negara kerana dapat mengelak lawan-lawan yang lebih handal di pusingan kedua seperti Iran, Arab Saudi, Qatar, Jordan, Uzbekistan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau China.

Seandainya pertemuan dengan Singapura dapat direalisasikan, ia sudah pastinya memberikan peluang terbaik buat Malaysia melangkah lebih jauh iaitu sekurang-kurangnya di pusingan ketiga iaitu perlawanan di peringkat kumpulan yang akan menghimpunkan 20 pasukan terbaik.

Perlawanan pertama pada 29 Jun ini akan dilangsungkan di sini sebelum Harimau Malaya berlepas ke Taipei bagi mengharungi perlawanan timbal balik kedua pada 3 Julai ini.

Jepun, Korea Selatan, Australia, Korea Utara dan Bahrain yang merupakan lima pasukan di ranking teratas mendapat bye sehingga ke pusingan ketiga.

Pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010, langkahan Malaysia tersekat di pusingan pertama lagi apabila tunduk kepada Bahrain 1-4 menerusi kiraan agregat.

Skuad kebangsaan Indonesia diundi sekali lagi berdepan Turkmenistan pada pusingan kedua selepas pasukan Olimpik mereka disingkirkan negara yang sama pada pusingan pertama kelayakan Olimpik manakala Thailand pula akan bertemu pemenang antara Afghanistan dan Palestin.

Sementara itu, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee boleh menarik sedikit nafas lega apabila kertas undian Malaysia yang dicabut sebagai pasukan terakhir dari 24 negara akan berdepan pilihan ke-11, Lebanon.

Tidak berdepan dengan salah satu pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Australia atau Bahrain pasti memberikan sedikit sinar harapan buat Kim Swee mencari kemenangan pada pusingan kedua agar dapat meneruskan api perjuangan sehingga ke pusingan akhir kelayakan iaitu di kalangan 12 pasukan terakhir.

Nasib yang dimiliki Malaysia bagi undian kelayakan Olimpik mungkin dicemburui beberapa negara jiran lain seperti Thailand yang terpaksa mengharungi laluan sukar apabila Bahrain menjadi lawan mereka sementara Vietnam diundi menentang Arab Saudi.

Skuad Olimpik negara bakal bertandang ke Beirut terlebih dahulu pada 19 Jun ini sebelum bermain di tempat sendiri pada 23 Jun.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5durmiyjp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Eksperimen positif - Rajagobal


ARKIB : 27/03/2011
KUALA LUMPUR - Malaysia terlepas peluang meneruskan rentak kemenangan sejak kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF, Disember lalu, namun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mengikat juara Liga Singapura (Liga-S), Etoile FC 1-1 dalam perlawanan yang menyaksikan jurulatih, K. Rajagobal menguji hampir kesemua pemainnya di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.

Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua buat skuad Harimau Malaya sejak menjuarai Piala AFF.

Perlawanan pertama menentang Hong Kong, bulan lalu berakhir dengan kemenangan 2-0.

Biarpun mencatat kemenangan selepas mendahului menerusi Ahmad Fakri Saarani seawal minit ketujuh, namun anak-anak buah Rajagobal meraih pengalaman berguna berdepan pemain-pemain Etoile yang memiliki fizikal dan corak permainan berbeza, apatah lagi mereka adalah kelab Perancis yang berorientasikan permainan Eropah.

"Keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain negara, terutama peluang menguji ramai pemain. Mungkin kerana melakukan banyak pertukaran ia menganggu sedikit rentak permainan tetapi yang penting kita berjaya mendapat ujian yang bagus.

"Semua pemain mempamer persembahan dan komitmen yang baik, termasuk pemain gantian, ini perkara paling positif buat skuad negara. Saya fikir, kita kena lebih banyak beraksi dalam perlawanan seperti ini untuk mendapat pengalaman baru kerana corak permainan dan fizikal Etoile yang berasal dari Perancis berbeza dengan corak permainan kita,'' kata Rajagobal ketika ditemu bual oleh Astro Arena, semalam.

Gol pembukaan Malaysia berpunca menerusi sepakan sudut pendek Mohd. Syafiq Rahim kepada Mohd. Asraruddin Putra Omar yang kemudian melakukan hantaran tinggi untuk Ahmad Fakri menewaskan penjaga gol lawan, Antonin Trilles.

Biarpun membuka jaringan awal, namun kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaya hampir membawa padah apabila Jonathan Tolo yang tidak dikawal melepaskan tandukan pada minit ke-18, namun tandukannya tersasar dan pada minit ke-27 rembatan Kevin Lefranc hanya menyentuh tepi jaring gol negara.

Rajagobal melakukan tiga pertukaran pada awal separuh masa kedua, termasuk mengeluarkan Khairul Fahmi untuk digantikan dengan Sharbinee dan dia bertindak cemerlang pada awal saingan apabila menepis rembatan cantik Sinira Camara minit ke-49.

Babak kedua berlangsung lebih menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, Malaysia terdahulu beroleh peluang menerusi gerakan dari sebelah kanan Mohd. Amirul Hadi Zainal tetapi Salim Kaabi pantas menyekat pergerakannya, namun pada minit ke-62 kelonggaran bahagian tengah dan pertahanan Malaysia membenarkan Etoile menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Hicham Bouchemial yang merembat bola menewaskan Sharbinee buat kali pertama.

Benteng pertahanan Malaysia longgar dan hampir dibolosi sekali lagi pada minit ke-65, mujur sepakan Stan Fougeroud tersasar tinggi
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5duNSOiiL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Azidan harap tuah kali keempat


ARKIB : 16/03/2011
KUALA LUMPUR - Namanya pernah dipanggil tiga kali menyertai latihan skuad kebangsaan sebelum ini, tetapi tuah masih belum memihak pemain tengah Selangor dan bekas kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

Kali ini, tidak sampai tiga bulan beraksi bersama Selangor, pemain yang sebelum ini terkenal dengan gaya rambut panjang ketika mewakili skuad warga kota, berjaya menambat hati pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal dan dipanggil dalam senarai 24 pemain yang akan menjalani latihan mulai 21 Mac ini.

Namun, jauh di sudut hati pemain berusia 25 tahun itu, dia berharap panggilan kali keempat menjalani latihan dan pemilihan skuad kebangsaan akan memberikan tuah kepadanya.

''Saya pernah mendapat panggilan daripada Norizan Bakar sebanyak dua kali dan sekali oleh Rajagobal, tetapi rezeki masih belum berpihak kepada saya.

''Selepas mendapat tahu nama saya tersenarai semalam, saya begitu gembira dan berazam mahu mendapat cap sulung bersama Harimau Malaya selepas pernah tiga kali mencuba, mungkin tuah saya akan menjelma buat kali keempat.

''Saya akan cuba memikat perhatian Rajagobal biarpun menyedari saingan di barisan tengah negara agak sengit dengan kehadiran Safiq Rahim, K. Gurusamy, Baddrol Bakhtiar dan Amar Rohidan yang lebih berpengalaman, " katanya yang dihubungi, semalam.

Azidan, yang memulakan karier di Kuala Lumpur sejak berumur 16 tahun, berhijrah ke Selangor musim ini dan menjaringkan satu gol dalam aksi Liga Super.

Memiliki keupayaan mendapatkan jaringan melalui rembatan jarak jauh dan pakar dalam situasi sepakan percuma, Azidan juga mempunyai gaya permainan yang lasak.

Namun, Azidan mengakui sekiranya dia gagal menambat hati Rajagobal, dia sama sekali tidak akan berputus asa dan cuba berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

''Tiada erti putus asa dalam hidup saya, sekiranya impian saya untuk bermain bersama negara masih tidak tercapai, saya akan menjadikan ia sebagai motivasi terbaik untuk berusaha lebih gigih bersama Selangor selepas ini.

''Insya allah, saya percaya kepada ketentuan rezeki, jika ada rezeki, adalah... namun kalau tak dapat, saya tetap boleh terima, apa-apa pun saya mahu melakukan yang terbaik, " ujarnya.

Semua 24 pemain yang terpilih bakal mendaftarkan diri di Wisma FAM dan akan menjalani latihan selama seminggu selain menghadapi satu perlawanan persahabatan yang dirancang pada 26 Mac.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz5du3uVlaN © Utusan Melayu (M) Bhd

Rajagobal panggil Azidan, Rizal


ARKIB : 15/03/2011
KUALA LUMPUR - Pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin dan pertahanan Kelantan, Mohd. Rizal Fahmi Abdul Rosid antara dua muka baru daripada 24 pemain yang mendapat panggilan menjalani latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan pada 21 hingga 28 Mac ini.

Selain daripada mereka, jurulatih negara, K. Rajagobal membuat keputusan tidak memanggil bintang Pelita Jaya, Safee Sali ekoran terikat dengan jadual ketat Liga Super Indonesia (ISL).

Zaquan Adha yang baru pulih daripada kecederaan juga terlepas peluang apabila namanya tidak disenaraikan kali ini sementara penyerang Johor FC, Shahrizal Saad mengekalkan tempat selepas dipanggil kali pertama pada perlawanan persahabatan berdepan Hong Kong, 9 Februari lalu.

Latihan tersebut sempena persiapan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 yang akan bermula pada bulan Jun ini, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum dapat mengesahkan lawan yang akan ditemui Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan yang diatur 26 Mac ini.

Malaysia yang kini berada di ranking 138 dunia dan 21 di kalangan negara Asia selepas naik dua anak tangga pada bulan ini, perlu mendapatkan kedudukan ranking yang baik dalam usaha mengelakkan undian sukar pada pusingan awal kelayakan Piala Dunia.

Undian kelayakan Piala Dunia zon Asia dijangka berlangsung di Rumah AFC, 30 Mac ini serentak dengan pengundian pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik 2012.

Semua pemain akan menghadirkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 21 Mac ini.
SEMUAArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5dtwCNiSG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kim Swee mohon restu


ARKIB : 12/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Skuad Olimpik negara tiba di KLIA, Sepang semalam, sekembalinya mereka dari Lahore, Pakistan. - UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed

SEPANG - Sejurus tiba dari Pakistan semalam, pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi menghadapi persaingan pusingan kedua kelayakan Olimpik yang dijadualkan berlangsung 19 dan 23 Jun nanti.

Namun, bagi melancarkan segala apa yang telah dirancang, beliau berharap Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (JKPT FAM) merestui permintaannya untuk menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang akan berlangsung mulai 14 hingga 21 Jun.

Selain itu, Kim Swee juga berharap dapat melakukan beberapa aksi persahabatankelas A bergantung kepada lawan yang akan ditemui skuad Olimpik negara pada pusingan kedua.

''Bagi melakukan persiapan mantap untuk pusingan kedua, saya mahu mengumpul semua pemain bagi menjalani latihan bersama di Kuala Lumpur selepas pertemuan dengan Selangor pada 24 Mei sehingga hari perlawanan.

''Dalam tempoh berkenaan, saya menagih beberapa perlawanan persahabatan kelas A memandangkan kami bakal berdepan pasukan-pasukan yang lebih baik pada pusingan seterusnya.

''Atas sebab itu, saya meminta jasa baik Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM agar menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang akan Harimau Muda A lalui pada 14, 17 dan 21 Jun, " katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Pakistan bersama para pemain dan pegawai, semalam.

Skuad Olimpik negara mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0, hasil kemenangan di Stadium Shah Alam pada 23 Februari walaupun terikat tanpa jaringan pada perlawanan kedua di Lahore, Rabu lalu.

Bagi perlawanan persahabatan, Kim Swee menjelaskan dia akan memilih pasukan yang mempunyai kemampuan setanding dengan skuad yang akan ditemui pada pusingan kedua.

''Sebagai contoh, andai kata kita diundi berdepan Jepun, saya akan memilih lawan dari benua dan gaya permainan yang sama seperti Korea Selatan, samalah juga sekiranya kita bertemu dengan mana-mana pasukan Asia Barat, kita akan memilih pasukan dari benua yang sama.

''Jadi selepas 30 Mac, selepas kita mengetahui lawan kita, barulah saya dapat melakukan strategi bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan lawan kita.

''Tetapi segala perancangan itu hanya boleh dilakukan jika Jawatankuasa Pertandingan Tempatan bersetuju memberikan ruang kepada kami berlatih secara bersama sebulan ini," ujarnya sekali lagi.

Tiga perlawanan yang diminta oleh Kim Swee untuk ditangguhkan terbabit ialah membabitkan pertemuan dengan Terengganu (14 Jun), Sabah (17 Jun) dan Pahang (21 Jun).

Dalam masa sama, Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah yang juga pengurus skuad Olimpik berjanji akan mengajukan perkara itu untuk diteliti mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

''Saya akan cuba meminta supaya semua ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) menilai kembali jadual pertandingan ketat yang sedang dilalui oleh Harimau Muda di dalam kempen Liga Super dan kemungkinan melakukan sedikit rombakan.

''Ia penting supaya tidak menjejaskan prestasi semasa skuad Olimpik di peringkat antarabangsa yang sedang mengharungi kelayakan Olimpik," ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi JKPT.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dtfYZFzW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad Olimpik mampu mara lebih jauh


 
ARKIB : 11/03/2011
Skuad Olimpik mampu mara lebih jauh
para pemain skuad Malaysia bergambar sebelum perlawanan kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan di Stadium Punjab, Lahore kelmarin. - Reuters

PUTRAJAYA - Kejayaan skuad bola sepak kebangsaan melangkah ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 memberi makna besar kepada masa depan bola sepak negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yakin skuad negara mampu melangkah lebih jauh dalam saingan tersebut, berdasarkan prestasi yang dipamerkan skuad kendalian Ong Kim Swee itu.

Menurutnya, aksi konsisten serta komitmen yang dipamerkan pemain muda semasa menentang Pakistan di Lahore, kelmarin memberikan harapan baru buat sukan bola sepak tanah air.

"Berdasarkan prestasi itu, saya yakin masa depan sukan bola sepak negara akan terus bersinar dengan pelbagai kejayaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kemaraan skuad negara ke pusingan kedua dengan agregat 2-0 dalam saingan Kelayakan Olimpik 2012.

Malaysia menang 2-0 dalam perlawanan pertama di Shah Alam dan seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua di Lahore kelmarin.

Menurut Razali, prestasi membanggakan skuad negara juga adalah hasil program latihan di Slovakia kerana sebahagian pemain skuad negara pernah menimba ilmu di sana.

"Program latihan di Slovakia telah mula memberi pulangan dan kesan kepada skuad negara, terbaru kita layak ke pusingan kedua dalam saingan Kelayakan Olimpik 2012.

"Kementerian sentiasa menyambut baik pelbagai program yang dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5dte5bTsI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jentera serangan tak mampu tunjuk taring


ARKIB : 11/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan Olimpik, namun jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee terkilan kerana ketajaman jentera serangan pasukannya tidak benar-benar teruji akibat permukaan padang yang teruk ketika menentang Pakistan di Lahore, kelmarin.

Menurut Kim Swee, permukaan padang venue perlawanan di Stadium Punjab di Lahore, amat tidak berkualiti sehingga menjejaskan taktikal yang dirancang.

Akibatnya skuad negara gagal menambah jaringan apabila seri tanpa jaringan dalam perlawanan tersebut.

Malaysia layak ke pusingan kedua dengan agregat 2-0 hasil kemenangan dalam perlawanan pertama di Shah Alam.

"Amat payah untuk kami mencari rentak dalam keadaan padang yang teruk, kami sukar bermain seperti biasa, apatah lagi untuk menjaringkan gol.

"Taktikal yang dirancang langsung tidak menjadi, ini ditambah pula dengan aksi agresif Pakistan yang memburu gol awal.

"Pasukan lawan cuba memerangkap kami dengan hantaran bola tinggi.

"Walaupun gagal menambah gol, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan layak ke pusingan kedua,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Pada pusingan kedua nanti, Malaysia akan berdepan salah satu daripada 13 pasukan pilihan seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Korea Utara, China, Arab Saudi, Syria, Bahrain, Uzbekistan, Iraq, Lebanon dan Vietnam yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Undian akan berlangsung di Rumah AFC, Bukit Jalil pada 30 Mac ini dengan perlawanan pusingan kedua secara timbal balik pada 19 Jun dan 23 Jun.

Mengenai saingan pusingan kedua, Kim Swee meminta peminat supaya bersikap realistik mengenai peluang skuad negara untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Kejayaan kita mara ke pusingan kedua memang menggembirakan dan menambahkan keyakinan di kalangan para pemain.

"Namun saya meminta para peminat supaya rasional terhadap apa juga peluang kita pada pusingan kedua nanti kerana kita akan berdepan pasukan terkuat Asia seperti Australia, Jepun atau Korea Selatan,

''Saya hanya mampu menjanjikan persembahan terbaik apabila berdepan pasukan terkuat Asia pada pusingan kedua nanti,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5dtcLKXeR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelebihan memihak Malaysia


ARKIB : 09/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
PENJARING gol pasukan negara pada perlawanan pertama, Wan Zaharulnizam atau Kecik menjadi antara pemain pilihan Ong Kim Swee pada aksi kedua kelayakan Olimpik menentang Pakistan di Lahore, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jika prestasi perlawanan pertama di Shah Alam dijadikan penilaian, skuad negara memiliki segala ramuan yang diperlukan untuk memenangi perlawanan kedua kelayakan Olimpik menentang Pakistan di Lahore, hari ini.

Kualiti teknikal yang ada pada pemain dan kepantasan melakukan serangan balas merupakan dua senjata utama yang boleh memadamkan keazaman tinggi Pakistan yang berhajat memadam defisit dua gol yang dibawa Malaysia ke Lahore.

Cuma suhu sejuk di Lahore mungkin merencatkan sedikit gerakan anak-anak buah Ong Kim Swee serta keadaan permukaan padang di stadium yang masih menjadi tanda tanya.

Namun, masalah itu pantas dinafikan oleh jurulatih berasal dari Melaka itu.

“Pemain saya boleh membiasakan diri dalam apa jua keadaan cuaca kerana hampir mereka semua pernah beraksi di Slovakia, yang suhunya jauh lebih sejuk, cuaca sejuk di Lahore bukan masalah.

“Mengenai permukaan padang, saya masih belum pasti kerana belum berpeluang melakukan tinjauan kerana jadual latihan agak lewat iaitu pada pukul 8 malam (11 malam waktu Malaysia), tetapi saya bersedia menerima apa jua kemungkinan.

‘‘Selain itu, walaupun berdepan kawalan keselamatan yang ketat di sini sehingga tidak dibenarkan keluar secara bersendirian, ia tidak mengganggu tumpuan serta mental para pemain bagi menghadapi perlawanan esok,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Malaysia yang mendahului 2-0 secara agregat melalui jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd. Irfan Fazail pada perlawanan pertama, kemungkinan akan menyandarkan harapan kepada Ahmad Fakri Saarani sebagai penyerang tunggal dengan Kim Swee meletakkan lima pemain di bahagian tengah dengan formasi 4-2-3-1.

Irfan kemungkinan akan menjadi pembantu penyerang kepada Fakri sambil dibantu Mohd. Fandi Othman atau Syahrul Azwari dan Wan Zaharulnizam yang lebih dikenali sebagai Kecik di bahagian sayap manakala K. Gurusamy dan S. Sivanesan mengemudi bahagian tengah.

Sementara itu, buat para pemain muda negara, kata-kata semangat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah harus dijadikan panduan yang mahukan skuad Olimpik Malaysia mara ke pusingan kedua.

‘‘Kita sebenarnya bermain dengan baik semasa di sini cuma nasib sahaja yang tidak menyebelahi kita. Saya yakin kita mampu menang di Pakistan dan mara ke pusingan seterusnya, ” ujarnya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula berharap para pemain menjaringkan gol awal bagi menutup ruang kepada lawan untuk bangkit sebagaimana ditunjukkan oleh pasukan senior pada Piala AFF ketika berdepan Indonesia pada perlawanan akhir timbal balik kedua di Jakarta.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dtG9gSLK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 27 Januari 2019

Kim Swee panggil Thamil, Syahrul


ARKIB : 07/03/2011
Oleh: MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Dua penyerang Harimau A, A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari bakal memantapkan barisan serangan skuad Olimpik negara apabila jurulatih, Ong Kim Swee menyenaraikan mereka dalam barisan 18 pemain yang berlepas ke Lahore, hari ini.

Thamil dan Syahrul menggantikan penyerang muda, Muhd. Ferris Danial dan pemain sayap Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor bagi menghadapi Pakistan dalam perlawanan timbal balik kedua pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik.

Selain mereka, Kim Swee turut menyenaraikan penjaga gol, Muhd. Zamir Selamat dan pemain pertahanan yang berusia 18 tahun, Nazirul Naim Che Hashim.

''Saya senaraikan Thamil selepas prestasinya meningkat ketika perlawanan bertemu Perak tempoh hari.

''Selepas membandingkan dengan persembahan Ferris ketika berdepan Felda United, saya buat keputusan memberi peluang kepada Thamil beraksi di Pakistan dan menggugurkan Ferris.

''Syahrul yang boleh beraksi di bahagian sayap pula menggantikan Wan Zack yang cedera. Begitu juga Nazirul Naim yang disenaraikan pada saat akhir kerana Mohd. Faizal Muhamad mengalami kejang otot yang serius pada sesi latihan petang ini," katanya yang dihubungi, semalam.

Kehadiran dua penyerang itu, Kim Swee jelas mempunyai banyak pilihan di barisan serangan selain Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali untuk menggempur kubu Pakistan di Lahore.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5dozSsktA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 26 Januari 2019

Kim Swee lakukan rombakan


ARKIB : 01/03/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 KUALA LUMPUR - Menyedari laluan Malaysia ke pusingan kedua kelayakan Olimpik masih belum terjamin, Ong Kim Swee membayangkan akan melakukan sedikit rombakan bagi menghadapi cabaran Pakistan di Lahore, 9 Mac depan.

Pengendali Harimau Muda A dan skuad Olimpik Malaysia itu berkata, dia akan membawa masuk sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain baru.

''Saya tidak boleh memberitahu nama pemain yang saya akan pilih kerana mahu menunggu saat akhir, iaitu selepas perlawanan liga selesai.

''Banyak faktor perlu diambil kira kerana bimbang mengenai tahap kecederaan pemain. Mungkin pada 6 Mac baru saya akan senaraikan 18 pemain yang akan dibawa ke Pakistan. Apa yang pasti memang akan ada pertukaran pemain, " katanya yang dihubungi, semalam.

Skuad Olimpik akan berdepan Perak pada perlawanan malam ini di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi Liga Super sebelum bertemu Johor di pusingan kedua Piala FA, Khamis ini.

Bagaimanapun, khidmat Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Irfan Fazail tidak dapat dibawa ke Ipoh, ekoran cedera dan akan direhatkan.

Sementara itu, Kim Swee membayangkan skuad Olimpik sudah pasti terlepas khidmat penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan ekoran kecederaan hamstring yang masih belum sembuh.

''Ini mungkin membuatkan saya mengekalkan gandingan Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali di bahagian depan," ujarnya.

Biarpun peminat kurang berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan Fakri dan Shakir yang terlepas banyak peluang ketika perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Kim Swee tetap menganggap mereka gandingan terbaik negara.

''Jangan terlalu cepat menghukum, peminat harus faham bahawa Shakir jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Kedah. Kali terakhir dia beraksi di perlawanan antarabangsa ialah lapan bulan lalu.

''Sementara Fakri pula baru pulih daripada kecederaan, sebagai jurulatih saya tahu mereka sebenarnya boleh berikan yang lebih baik dan saya harap mereka akan pamerkan peningkatan di sana, " ujarnya.

Kim Swee yang juga bekas pemain 'Projek Olimpik Barcelona 1992' di bawah asuhan Chow Kwai Lam, tidak gusar dengan kritikan bahawa skuadnya tiada pemain perancang yang benar-benar berkesan.

''Sebenarnya kami ada tiga perancang yang boleh diharapkan iaitu K. Gurusamy, Irfan Fazail dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria. Mereka agak sedikit ghairah memandangkan ini antara tugasan pertama mereka di peringkat antarabangsa.

''Mereka masih muda seperti Irfan dan Wan Zaharul berumur 20 tahun, masih belum berpengalaman. Masa akan mematangkan mereka menjadi pemain yang bagus, " jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5djBs5bpb
© Utusan Melayu (M) Bhd