Kuala Lumpur: Tan Cheng Hoe
berpendapat beliau dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak
mempunyai halangan melepaskan pemain mereka menyertai latihan pusat skuad
kebangsaan lebih awal.
Beliau yang pernah menjadi
penolong jurulatih Harimau Malaysia memahami situasi dihadapi pengendali Datuk
Ong Kim Swee dalam mempersiapkan pasukan menghadapi Piala AFF pada November
ini.
“Bagi Kedah, kami tidak ada
masalah untuk membenarkan pemain melaporkan diri awal bersama skuad kebangsaan
jika tidak terikat dengan mana-mana perlawanan.
“Pemain memerlukan sedikit masa
untuk membentuk kecergasan, persefahaman dan pemahaman taktikal bersama skuad
kebangsaan.
“Memang ikut peraturan FIFA
(Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) pemain perlu melaporkan diri empat hari
sebelum perlawanan tapi kita boleh guna budi bicara untuk pemain datang awal
berlatih. Apapun terpulang kepada pihak pengurusan pasukan masing-masing,”
katanya kepada Arena Metro semalam.
Akhbar ini melaporkan tiga
pemain Zaquan Adha Abd Radzak, Darren Lok dan Irfan Fazail hanya sempat
berlatih sehari bersama skuad kebangsaan selepas dipanggil pulang pihak
pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kelmarin.
Menurut Kim Swee, beliau
menerima surat rasmi mengenai keputusan itu semalam atas alasan kelab berkenaan
ingin mematuhi peraturan FIFA dan hanya akan melepaskan pemain Isnin ini, iaitu
empat hari sebelum perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura di
Stadium Nasional negara itu pada 7 November ini.
KFA membenarkan tiga pemain
Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Ghazali melaporkan diri awal
Ahad ini selepas selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
“Bukan hanya skuad kebangsaan malah
tiga pemain utama kami akan bersama skuad bawah 22 tahun, Ahad ini. Sebagai
jurulatih memang agak bimbang jika berlaku kecederaan kerana kami akan
mengharungi separuh akhir kedua Piala Malaysia.
“Tapi dalam konteks ini,
kecederaan boleh berlaku di mana-mana saja dan kita kena fikir positif, pemain
akan ada keyakinan dan pemahaman taktikal menjadi lebih baik jika bermain di
peringkat antarabangsa,” jelas Cheng Hoe.
Sementara itu bagi Setiausaha
Agung FELDA United Zulkarnain Mohamad, tiada isu bagi mereka untuk melepaskan
awal dua pemain Ahmad Fakri Saarani dan Hadin Azman yang kini sedang berlatih
bersama skuad kebangsaan.
“Lagi awal mereka berlatih lagi
bagus kerana sekarang pasukan FELDA sedang bercuti. Lagi ramai yang dipanggil
ke skuad kebangsaan lagi bagus kerana ini matlamat kami untuk membantu skuad
kebangsaan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:10 AM