Rabu, 1 November 2017

Vingada, Safiq didenda AFC



Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan hukuman denda AS$5,000 (RM21,152) ke atas jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada susulan tindakannya mengkritik dan mempersoal keputusan pengadil.

Vingada didakwa melakukan kesalahan itu pada sidang media selepas aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Oktober lalu.

Selain Vingada, kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim turut didenda AS$1,000 (RM4,230) kerana didapati bersalah melakukan terjahan berbahaya ke atas pemain lawan, ketika aksi timbal balik berdepan Hong Kong pada 10 Oktober lalu.

“Safiq Rahim digantung satu perlawanan, termasuk satu penggantungan automatik selepas diperintah keluar padang (menerima kad merah) ketika perlawanan Hong Kong dan Malaysia.

“Penggantungan satu perlawanan akan dikenakan pada aksi seterusnya (kelayakan Piala Asia 2019) antara Korea Utara dan Malaysia pada 10 November nanti,” kata AFC.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut berdepan dua hukuman denda susulan kelakuan pemain serta penyokong ketika aksi berdepan Hong Kong, di Stadium Hang Jebat.

Kesalahan pertama kerana tindakan beberapa pemain yang mengelilingi dan mengganggu pengadil pada masa kecederaan perlawanan itu.

Akibat kesalahan ini, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak AS$6,000 (RM25,374) kerana melanggar Artikel 53.2 Kod Etika dan Tatatertib AFC.

Bagi kesalahan penyokong yang membaling 10 hingga 15 objek (botol dan bekas minuman) ke arah pegawai pengadil selepas perlawanan, badan induk itu didenda sebanyak AS$7,500 (RM31,717).

Kesemua denda yang dikenakan ke atas Vingada, Safiq dan FAM perlu dijelaskan dalam tempoh 30 bermula daripada tarikh hukuman itu dikeluarkan.

Hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya mengulangi kesalahan sama.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 6:01 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan