Rabu, 15 November 2017

'Tunggu pampasan ke Vingada?'



Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my
 
JIKA kualiti pemain negara diambil kira, pemilihan jurulatih tempatan mengisi jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya adalah paling tepat dan langkah itu dilihat lebih menguntungkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika ini, pemilihan Nelo Vingada mengendalikan pasukan negara hanya menjurus kepada keuntungan buat jurulatih dari Portugal itu.

Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkata, jurulatih tempatan ada kelebihan daripada aspek lebih dekat dengan arena bola sepak di negara ini berbanding pengendali import yang pasti akan tersilap membuat andaian terhadap mana-mana pemain.

“Bagi seseorang jurulatih import, sebelum menerima sebarang jawatan di mana-mana negara, sudah pasti mereka melakukan kajian mengenai kualiti bola sepak di negara berkenaan.

BAKRI anggap jurulatih tempatan lebih sesuai teruju skuad Harimau Malaya.

“Dalam hal ini, dia (Vingada) pernah bekerja di Asia dan sudah pasti dia pun tahu sejauh mana bola sepak Malaysia. Mungkin dia terima jawatan ini disebabkan duit semata-mata.

“Bagi saya, dengan pemain yang kita ada sekarang, adalah lebih baik kita hanya melantik jurulatih tempatan. Mereka lebih kenal pemain malah kos juga tidak terlalu besar berbanding jurulatih luar negara.

“Sebagai contoh, jurulatih import tertarik dengan permainan dari negeri A yang dirasakan bagus untuk beraksi di peringkat antarabangsa, tetapi pada masa sama, jurulatih tempatan pasti lebih kenal permainan pemain berkenaan,” katanya.

SKUAD Harimau Malaya (jersi putih) tak bermaya ketika berdepan Korea Utara.

Semalam, Vingada menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sekiranya langkah itu mampu menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan.

Kenyataan itu hadir sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mengalami dua kekalahan 4-1 kepada Korea Utara pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand.

Mengulas mengenai kesediaan Vingada, Bakri berkata jika benar jurulatih itu memiliki prinsip dan rasa tanggungjawab, dia sepatutnya melepaskan jawatan.

Bagaimanapun, Bakri berkata adalah tidak adil jika meletakkan kesalahan itu hanya kepada Vingada sebaliknya semua pihak termasuk FAM harus turut pikul tanggungjawab itu.

“Kalau dia (Vingada) seorang profesional, berprinsip dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku, dia kena ambil tanggungjawab dengan cara letak jawatan. Lepas secara sukarela, bukannya tunggu FAM pecat dan harapkan pampasan.

“Ini kerana, kalau dia kekal sekali pun, kariernya dan ‘resume’ dia juga akan rosak. Bukan dia saja, semua pihak termasuk FAM sebagai badan induk harus bertanggungjawab dengan mempertingkatkan pembangunan akar umbi,” katanya.

SKUAD negara masih gagal bersaing dengan pasukan luar.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 3:57 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan