ARKIB : 28/05/2008
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan
hanya mendapat satu ujian pemanas badan dengan menentang pasukan Liga Super,
Polis yang baru-baru ini dibelenggu kes rasuah bola sepak menjelang perlawanan
persahabatan dengan Indonesia di Surabaya, 6 Jun ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Perlawanan di Wisma FAM, Kelana
Jaya, esok turut akan menjadi pembayang awal bagi ketua jurulatih, B.
Sathianathan dalam mencari kesebelasan utama skuad negara seterusnya
menyenaraikan 20 pemain terbaik ke Stadium Gelora 10 November, Tambaksari,
Surabaya.
"Cuma satu perlawanan itu
yang diperoleh untuk menguji pasukan negara selain sesi latihan harian sebagai
persediaan sebelum kami ke sana pada 4 Jun ini," katanya yang memiliki 30
pelatih sejak mereka dipanggil melapor diri ke Wisma FAM pada 20 Mei lalu.
Pemain tengah, K. Nanthakumar
dan bek tengah, Chan Wing Hoong dari Perak yang masih tercedera, terpaksa
diketepikan manakala dua bek kiri masing-masing dari Perlis dan Pahang, Fauzie
Nan dan Rosdi Talib dikecualikan kerana masalah peribadi.
Persahabatan di Surabaya
penting dalam memperbaiki ranking ke-169 Malaysia dalam Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) walaupun terdapat negeri mahu memanggil balik pemain bawah
23 tahun daripada skuad ini bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12 di
Terengganu.
Inilah perlawanan antarabangsa
pertama yang diiktiraf FIFA buat Malaysia sejak seri tanpa jaringan dengan
Bahrain dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 di
Shah Alam sekali gus kalah secara agregat 4-1 selepas di Manama, Oktober lalu.
Malaysia yang dibarisi ramai
pemain bawah 23 tahun, gagal ke separuh akhir Piala Antara Benua di Petaling
Jaya pada minggu lalu selepas cuma menduduki tempat ketiga Kumpulan A dengan
dikalahkan Ireland 3-1, menewaskan Iraq 1-0 dan mengikat Nigeria 1-1.
Lapan pemainnya, turut
diserapkan semula ke skuad pelatih menjelang ke Surabaya iaitu ketua pasukan -
Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah, Safee Sali, Zaquan Adha Radzak, Daudsu
Jamaluddin, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam dan Amirulhadi Zainal.
Sebaliknya Indonesia mempunyai
tiga perlawanan persahabatan antarabangsa yang mencukupi termasuk menentang
Oman, semalam, dibelasah kelab Jerman, Bayern Munich 5-1 pada 22 Mei lalu dan
menewaskan Yemen 1-0 di Bandung, April lalu.
Kali terakhir Malaysia
menentang Indonesia (ranking 131 FIFA) ialah dalam Pestabola Merdeka pada 23
Ogos 2006 di Shah Alam yang berkesudahan seri 1-1 apabila jaringan pendahuluan
Bambang Pamungkas disamakan oleh gol sendiri rakannya, Muhammad Ridwan.
Liew Kit Kong, salah seorang
anggota skuad pelatih ketika ini, pernah menjaringkan dua gol ketika Malaysia
mengejutkan Indonesia 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Tiger
2004 di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta.
Kedua-dua negara menjadikan
perlawanan persahabatan ini sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFF
(Persekutuan Bola Sepak ASEAN) Ketujuh atau dulunya Piala Tiger di Indonesia
dan Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWibm1JS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan