ARKIB : 05/08/2008
PUTRAJAYA - Mutu sukan bola
sepak negara tidak pernah dipengaruhi langsung dengan cara permainan mana-mana
pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya kehadiran pemain import dilihat hanya
menyekat peluang untuk pemain tempatan melangkah lebih maju di dalam sukan itu.
''Kita nampak mutu pemain kita
tidak bertambah baik dengan kehadiran pemain import ini. Pemain import ini juga
bukan merupakan nama besar yang boleh menarik penonton ke stadium,"
katanya.
Beliau berkata demikian semasa
sidang akhbar selepas pertemuan tertutup bersama wakil daripada 102 bekas
pemain hoki negara di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin
kelmarin yang memutuskan untuk menamatkan khidmat pemain import mulai musim
depan kerana mereka didapati masih tidak mencapai mutu permainan yang
sewajarnya dan gagal menarik kehadiran penonton ke stadium.
Namun, jelas Ismail Sabri,
khidmat jurulatih asing pula perlu diteruskan malah diberi fokus untuk
meningkatkan mutu permainan bola sepak negara.
Katanya, pemain import dilihat
tidak akan berkongsi pengalaman dan melihat tindakan itu dilakukan untuk
mengekalkan tempatnya di dalam sesebuah pasukan.
Ketika ditanya tentang persediaan
akhir pasukan negara untuk Sukan Olimpik Beijing dan pasukan badminton yang
akan berlepas malam ini, Ismail Sabri berkata: ''Kita minta mereka tidak takut
dan tidak rasa rendah diri."
''Kita berjuang demi negara dan
perlu buktikan kita boleh menjadi juara walaupun di tempat orang."
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zrgdsMCP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan