SKUAD B-19 Malaysia mencatat
kemenangan ketiga dalam kelayakan Kejohanan AFC Bawah 19 tahun selepas
menumpaskan Indonesia 4-1 di Paju, Korea Selatan hari ini. - FAM
Rozaidi Zulkifli
06 November 2017 2:47 PM
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Komitmen
dan disiplin tinggi menjadi kunci utama Malaysia membenam Indonesia 4-1 dalam
aksi Kumpulan F, Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 19
tahun di Paju, Korea Selatan hari ini, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan
100 peratus.
Pengendali skuad Bawah 19
(B-19) negara, Bojan Hodak berkata, anak-anak buahnya mengikut setiap taktikal
yang dirangka untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan akhir yang akan
diadakan di Indonesia, tahun depan.
“Kita bermain dengan sangat
baik dan mengikut taktikal yang telah dirancang, kita melihat cara permainan
Indonesia menerusi sesi video sebelum perlawanan dan pemain-pemain telah
melaksanakan tugas masing-masing dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan
Online di sini hari ini.
Skuad B-19 negara kini
mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga aksi Kumpulan F, dan jika
berjaya mengalahkan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir, Rabu mereka akan
muncul juara sekali gus layak secara automatik beraksi bersama 15 lagi pasukan
terbaik Asia lain.
Namun jika tewas, skuad negara
masih berpeluang kerana berada di posisi terbaik untuk muncul sebagai lima
pasukan naib juara terbaik di pusingan kelayakan.
Dua kemenangan Skuad negara
sebelum ini dicatat ke atas Timor Leste 3-1 dan Brunei 1-0.
Dalam perlawanan hari ini, Hadi
Fayyadh Abdul Razak menjaringkan dua gol pada minit ketujuh dan minit ke-52,
disusuli satu gol menerusi Akhyar Rashid pada minit ke-34 dan A. Shivan Pillay
(m-47).
Sementara itu, gol saguhati
Indonesia dijaringkan oleh Hanis Saghara Putra yang memanfaatkan kesilapan
penjaga gol negara pada minit akhir babak pertama. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/disiplin-tinggi-bawa-malaysia-benam-indonesia-1.547825#ixzz4xdkBUX6T
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan