ARKIB : 03/02/2008
AZZUDDIN AHMAD.
MUKADIMAH
LANGKAH Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) mendapatkan bantuan FIFA bagi mengatasi kemerosotan skuad negara
di peringkat antarabangsa menimbulkan satu persoalan besar.
Mengapa selepas hampir tiga
dekad bola sepak negara melalui pencapaian terburuk dan detik memalukan tanpa
apa-apa kejayaan besar, baru sekarang FAM hendak mendapatkan bantuan FIFA?
Pelik tetapi itulah bola sepak
kerana sebagai sukan nombor satu dan paling popular di dunia, FAM masih perlu
terus membangunkannya walaupun menerima kritikan dan cacian yang melata.
Wartawan Mingguan Malaysia,
MOHD. TAUFEK RAZAK mendapatkan penjelasan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin
Ahmad berhubung usaha terbarunya itu demi mahu melonjakkan bola sepak negara ke
tahap yang lebih tinggi.
MM: Langkah FAM mendapatkan
bantuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai usaha untuk membawa
Malaysia keluar dari zaman kemerosotan menerima maklum balas yang baik daripada
peminat bola sepak tempatan. Boleh Datuk jelaskan bentuk bantuan yang macam
mana boleh diberikan FIFA?
Sudah empat bulan saya berada
di FAM sebagai setiausaha agung dan dalam tempoh itulah saya mula mengesan
kelemahan yang ada.
Hasil daripada pengamatan
sendiri, timbul idea untuk mendapatkan bantuan FIFA. Ini saya buat semata-mata
untuk melihat bola sepak negara keluar daripada kepompong kemerosotan. Secara
prinsipnya, FIFA telah menyatakan persetujuan untuk membantu kita. Buat
permulaan, pasukan dari FIFA itu bakal memberi tumpuan menilai format
pertandingan yang digunakan sekarang.
Selepas itu mereka akan turun
ke kelab dan negeri untuk menilai pengurusan dan program pembangunan yang
dijalankan. Ini mungkin mengambil masa satu hingga dua bulan untuk
melakukannya.
Apa relevannya kita meminta
bantuan FIFA ketika ini?
Malaysia sudah terlalu lama
berada pada ranking corot di peringkat antarabangsa. Malah, kita juga sudah
lama cuba membangunkan bola sepak menerusi pelbagai usaha dan cara. Namun
begitu, tidak ada badan bebas yang menilai sama ada usaha kita itu berada di
landasan betul atau tidak atau adakah ia mencapai objektif dan hala tuju yang
kita mahu? Jadi FIFA adalah badan induk yang paling tepat untuk kita rujuk
kerana mereka mempunyai ramai pakar. Ini bukan satu tindakan ke belakang. Kita
tidak perlu malu untuk belajar kerana Malaysia kini berada pada ranking 166
dunia.
Mengapa FAM mengambil masa
terlalu lama baru terfikir hendak minta bantuan FIFA?
Saya tidak berhak untuk komen
kerja yang dilakukan pengurusan FAM sebelum ini. Tetapi apabila saya ambil alih
jawatan setiausaha agung, inilah idea pertama yang saya dapat. Bagaimanapun ia
hanyalah cadangan saya kerana kedatangan pasukan penilai FIFA ini masih perlu
mendapat kelulusan Exco FAM terlebih dulu. Exco akan bermesyuarat Isnin ini
(esok) untuk menerima cadangan saya itu atau pun tidak.
Ramai yang melihat tindakan FAM
meminta bantuan FIFA ini seperti FAM sudah putus asa dan kehabisan idea. Apa
komen Datuk?
Saya tidak setuju dengan
tanggapan itu. Kami bukan ketandusan idea atau putus asa sebaliknya cadangan
meminta bantuan FIFA ini membuktikan FAM masih mempunyai idea dan tidak putus
asa dalam memajukan bola sepak negara. Kami masih cuba bergerak seiring dengan
kemajuan bola sepak dunia. Lagi pun bukan semua hasil penilaian pasukan FIFA
itu nanti akan kami ambil. FAM tidak akan terimanya bulat-bulat sebaliknya akan
menyesuaikannya dengan kemampuan dan keperluan mengikut acuan dan sumber
kewangan kami. FAM juga akan mendapatkan maklum balas daripada ahli gabungan
lain mengenai hasil penilaian itu sebelum melaksanakannya.
Datuk juga mengetahui Malaysia
memiliki program pembangunan remaja dan jurulatih yang terbaik di Asia. Adakah
dengan meminta bantuan FIFA ini, imej itu akan tercalar?
Saya tidak berasa begitu. Pada
saya, kalau kita sudah menjadi terbaik kita tidak perlu berhenti berusaha untuk
terus menjadi lebih baik. Imej FAM tidak akan tercalar hanya kerana mendapatkan
bantuan daripada FIFA. Memajukan bola sepak negara adalah proses yang
berterusan dan tidak ada kaitan dengan mencemar imej bola sepak kita.
Untuk menjadi terbaik, kita
tidak boleh berhenti daripada mencapai tahap kecemerlangan. Tidak ada garisan
penamat jika mahu menyaksikan bola sepak kita berjaya. Seperkara yang ingin
saya tegaskan, satu lagi kesilapan kita ialah kita terlalu bermegah dengan
kejayaan lampau sehingga menyekat usaha kita untuk maju ke depan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4xPo6nd4b
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan