Rabu, 29 November 2017

FAM tubuh jawatankuasa atasi rasuah

ARKIB : 03/08/2008
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meng-umumkan penubuhan Jawatankuasa Ketelusan dan Pemantauan bagi menangani masalah rasuah dalam bola sepak tempatan.Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat.

''Penubuhan jawatankuasa tersebut bertepatan dengan gesaan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah supaya masalah rasuah dalam bola sepak di negara ini ditangani sebaik mungkin.

''Jawatankuasa itu turut dianggotai beberapa agensi kerajaan dan penguatkuasaan berkaitan.

''Ia akan memantau setiap laporan mengenai rasuah dalam sukan ini, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya,'' katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM di sini, semalam.

Isu rasuah kembali menghantui bola sepak negara apabila lima pemain sebuah negeri disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) manakala seorang bekas pemainnya ditahan reman kerana disyaki terbabit melakukannya dalam perlawanan Liga Super, April lalu.

Dalam masa yang sama sembilan orang pemain sebuah pasukan dalam Liga Super dipanggil memberikan keterangan kepada pengurusan pasukan ekoran persembahan buruk mereka.

Aseh merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Dalam pada itu, Khairy berkata, FAM menetapkan mulai musim depan, setiap pasukan dalam Liga Malaysia perlu menurunkan minimum seorang pemain bawah 20 tahun dan bukan lagi bawah 21 tahun.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk memberi lebih peluang kepada pemain muda beraksi.

''Langkah ini selaras dengan usaha membangunkan bola sepak di kalangan pemain muda.

''Kita juga memutuskan skuad Harimau Muda yang dibarisi pemain muda kekal beraksi dalam Liga Perdana pada musim depan,'' katanya.

Selaras dengan usaha membangunkan bola sepak tempatan, Khairy turut mengumumkan hanya pemain bawah 20 tahun dibenarkan beraksi dalam acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka pada 2010
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zrOTZzw8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan