Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KETUA pasukan skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Muhammad
Adib Zainudin (gambar) menganggap peluang beraksi di Kejuaraan Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China pada Januari ini adalah peluang sekali
seumur hidup dan mahu menggunakan kesempatan itu untuk mencipta sejarah baru
bersama pasukan.
Mengakui halangan yang bakal ditempuhi cukup sukar
terutama apabila berdepan tiga gergasi Asia iaitu Arab Saudi, Jordan dan Iraq
dalam Kumpulan C, Adib bagaimanapun tetap yakin mampu melakukan kejutan
berdasarkan perancangan dan persiapan rapi pasukan sebelum bermulanya
kejohanan.
“Kebanyakan pasukan Arab ini lebih kepada saiz
fizikal yang biasanya lebih besar dan keras, tapi bagi Adib ia bukan faktor
yang boleh menentukan kemenangan pasukan.
“Apa yang penting kerja. Bermain betul-betul,
sungguh-sungguh dan beraksi sebagai satu pasukan itu lebih penting daripada
memikir benda lain. Jangan takutlah sebenarnya, kita boleh lakukan.
“Adib mahu raih kemenangan dan mara sejauh mungkin
dalam kejohanan itu. Bukan senang dapat bermain dengan pemain-pemain yang lebih
baik di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini
mengesahkan skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee akan mengharungi
enam perlawanan persahabatan sepanjang kem latihan, termasuk di Korea Selatan
dan China untuk menghadapi pusingan akhir AFC itu.
Namun, sebelum ‘berguru’ di dua negara itu, pasukan
akan mengadakan kem latihan pusat tempatan selama 20 hari di Johor Bahru
bermula 27 November ini dengan dua aksi persahabatan pada 9 dan 14 Disember
ini.
Lebih menarik, dalam kunjungan di Mokpo, Korea
Selatan bermula 17 Disember nanti, skuad B-23 dijadual bertemu pasukan B-23
Korea Selatan, sekali gus bakal menjadikan persediaan paling mantap buat anak
didik Kim Swee itu.
Dalam perkembangan lain, tonggak pertahanan FELCRA
FC itu mendedahkan masih mencari pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga
Malaysia (Liga-M) musim depan selepas kontraknya bersama skuad The Rival itu
bakal berakhir pada minggu depan.
“Sebelum ini memang ada pasukan yang bertanya, tapi
sampai sekarang tak ada apa-apa lagi. Memang saya tengah mencari pasukan dan
kalau boleh mahu cuba beraksi di Liga Super serta kerap diberi peluang
bermain,” katanya yang membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA
Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November
2017 @ 1:18 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan