Khamis, 30 November 2017

Cuma tiga wakil Kedah dipanggil

ARKIB : 27/08/2008
KUALA LUMPUR - Walaupun menunjukkan prestasi yang membanggakan, hanya tiga pemain daripada skuad juara tiga gelaran Liga Malaysia 2007- 2008, Kedah, dipanggil bagi menjalani latihan skuad bola sepak negara untuk menghadapi Pestabola Merdeka Ke-40 dari 15 hingga 25 Oktober ini.

Helmi Eliza Elias, Khyril Muhymeen Zambri dan Shafizan Hashim yang berpeluang menentang gergasi Liga Perdana England, Chelsea, bulan lalu, disenaraikan semula tetapi bagaimana dengan kebanyakan pemain kesebelasan utama Kedah yang menjulang Piala Malaysia, Sabtu lalu?

Pencapaian Fadly Baharom, penjaring gol ketiga Si Kenari yang juga pemain tempatan dengan gol terbanyak Piala Malaysia (sembilan gol) juga bagaikan hanya dipandang sepi mahupun bek kanan, V. Thirumurugan, Victor Andrag, Ahmad Fauzi Shaari atau Baddrol Bakhtiar.

Senarai pelatih skuad negara yang dikendalikan sementara oleh Mohd. Zaki Sheikh Ahmad bagaimanapun menamakan semula ketua pasukan Selangor - Shukor Adan di samping Indra Putra Mahayuddin, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Safee Sali.

Zaki mengambil alih selama tiga hari daripada ke tuanya, B. Sathianathan yang kini di New York sebagai memenuhi undangan kejohanan kemerdekaan Persatuan Malaysia-Amerika Syarikat sebelum skuad negara melawat Slovakia bagi siri persahabatan, bulan depan.

Turut disenaraikan dalam skuad negara ialah beberapa tonggak veteran yang sempat menentang Chelsea dan siri persahabatan antarabangsa dengan Indonesia dan India, Jun lalu.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zwfbFucx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan