Sabtu, 18 November 2017

Kim Chon latih skuad 16 tahun



ARKIB : 02/04/2008

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai kanan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Lim Kim Chon dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih baru skuad Bawah 16 tahun Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Bawah 16 Tahun Asia di Uzbekistan, Oktober ini.

Pelantikan bekas Pengarah Teknikal AFC pada 2004 yang turut pernah bertugas di Maldives ini juga ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ kerana dia juga menjawat jawatan sebagai penolong kepada Richard Bates di FAM untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia pada 90-an.

Kim Chon, anak kelahiran Melaka yang juga abang bekas pemain negara Lim Chuan Chin dan Lim Teong Kim, kemudian meninggalkan FAM pada 1999 untuk menyertai AFC selain menjadi ahli Kumpulan Pengkaji Teknikal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi Piala Dunia di Jerman, dua tahun lalu.

Skuad remaja negara sebelum ini dilatih oleh Aminuddin Hussein, bakal beraksi dalam pusingan akhir di Tashkent, Uzbekistan dari 4 hingga 19 Oktober selepas layak secara automatik gara-gara kesalahan lawan kumpulannya, Korea Utara yang menurunkan pemain melebihi umur.

Malaysia mulanya menduduki tangga tercorot Kumpulan G selepas dikalahkan Korea Utara 4-0 yang juga naib juara 2006 dan Australia 2-0 dalam pusingan kelayakan di Singapura pada 17 dan 21 Oktober lalu.

Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pelantikan Kim Chon dianggap tepat khususnya bagi menyediakan skuad ke pusingan akhir Kejohanan Asia berdasarkan pengalaman luasnya dalam bola sepak Asia dan dunia.

Enam belas pasukan akan menyertai pusingan akhir di Stadium Army dan Jar di ibu kota Uzbekistan itu yang dibahagikan menerusi undian kepada empat kumpulan manakala empat pasukan terbaik bakal mewakili Asia ke Kejohanan Bawah 17 tahun Dunia 2009.

Negara lain yang turut ke Tashkent ialah Syria, Yemen, Iran, Bahrain, India, Turkmenistan, China, Singapura, Jepun, Indonesia, Australia dan Korea Selatan serta Arab Saudi ekoran lawannya, Iraq yang turut didapati bersalah seperti kes pemain Korea Utara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4yr1wkE2s
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan