Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KEMENANGAN bergaya anak buah
Bojan Hodak apabila membenam Indonesia 4-1 pada aksi kelayakan Kejuaraan
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan, hari ini
sememangnya mengejutkan ramai.
Bagaimanapun, Hodak mendedahkan
rahsia di sebalik kemenangan bergaya itu yang mencerahkan peluang mereka
mengetuk pintu pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia, tahun depan
apabila mengumpul sembilan mata maksimum selepas menewaskan Timor Leste 3-1 dan
Brunei 1-0, sebelum ini.
“Saya akui sebenarnya bukan mudah
menewaskan Indonesia, apatah lagi selepas lawan itu membelasah Brunie dan Timor
Leste dengan kedua-duanya berakhir dengan keputusan 5-0 berbanding kami yang
sekadar menang tipis saja terutamanya ke atas Brunei yang jelas menyentap
semangat pemain.
“Namun, saya gunakan permainan
psikologi bagi menaikkan semangat pemain. Dalam pasukan ini, kami mempunyai
ramai pemain dari Pulau Pinang dan Kedah yang ketika ini keluarga mereka
ditimpa masalah banjir.
“Jadi, saya ingatkan mereka
mengenai kesusahan keluarga dan mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah. Tak
sangka pemain saya memberi tindak balas cukup baik di mana mereka beraksi demi
keluarga tersayang,” kata bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan
itu.
Skuad negara akan melengkapkan
saingan Kumpulan F dengan menentang Korea Selatan Rabu ini dan sekiranya
menewaskan pasukan tuan rumah itu, mereka akan muncul juara kumpulan sekali gus
layak automatik beraksi bersama 15 lagi pasukan terbaik termasuk Indonesia yang
sudah layak lebih awal atas tiket selaku tuan rumah.
Bagaimanapun, sekiranya tewas
atau seri, skuad negara masih berpeluang mara dengan mereka kini berada di
posisi terbaik untuk muncul sebagai lima pasukan naib juara terbaik di pusingan
kelayakan ini hasil pungutan mata yang tinggi.
Sekiranya anak didik Hodak
layak, mereka akan mengikut jejak dua pasukan muda negara iaitu skuad B-23 dan
B-16 yang turut mengesahkan kemaraan di pusingan akhir AFC tahun depan di mana
pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi di China Januari ini, sementara
skuad Lim Teong Kim menjadi tuan rumah, Ogos nanti.
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 6 November 2017 @ 4:20 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan