Rabu, 29 November 2017

Malaysia lonjak ke tangga 162 dunia

ARKIB : 07/08/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia memperbaiki kedudukan dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak empat anak tangga untuk menduduki tempat ke-162.

Dalam senarai terakhir FIFA bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-166 di kalangan 199 negara.

Kedudukan Malaysia dibantu dengan keputusan seri 1-1 skuad bimbingan B. Sathianathan ketika menentang India di Hyderabad pada perlawanan persahabatan 23 Julai lepas.

Selepas pencapaian terbaik Malaysia pada Ogos 1993 apabila menduduki ranking ke-75 dunia, status pasukan negara mengalami kemerosotan mendadak iaitu berada pada ranking ke-170 April lepas, yang terburuk sejak 1993.

Sementara itu, Sepanyol kekal di tangga paling atas selepas mengalahkan Jerman 1-0 pada perlawanan akhir Piala Eropah bulan lepas.

Dalam senarai ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia naik dua anak tangga ke tempat ke-29 dan di kalangan negara-negara Asia Tenggara, negara berada di belakang Thailand (15), Singapura (19), Indonesia (22) dan Myanmar di tangga ke-27.

Malaysia berpeluang memperbaiki ranking apabila menyertai kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Disember ini.

- Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4zssddnRj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan