ARKIB : 30/05/2008
pasukan Malaysia memerlukan
satu lagi perlawanan ujian lain sebelum ke Surabaya, Indonesia bagi perlawanan
persahabatan antarabangsa 6 Jun ini ekoran dikatakan kurang agresif.
PETALING JAYA - Penyerang Kuala
Muda Naza, Liew Kit Kong memiliki peluang cerah untuk kembali menyarung jersi
negara buat kali pertama sejak 2005, apabila Malaysia menentang Indonesia dalam
perlawanan persahabatan antarabangsa di Surabaya, 6 Jun ini, lapor ABDUL HAFIZ
AHMAD.
Dua jaringannya ketika skuad
negara membelasah Polis 7-0 dalam perlawanan pemanas badan di Wisma FAM, Kelana
Jaya, semalam, tampak semakin meyakinkan ketua jurulatih B. Sathianathan untuk
menyenaraikannya bersama skuad 20 pemain terbaik ke sana.
Penjaring dua gol ke atas
Indonesia pada separuh akhir Piala Tiger 2004 di Jakarta itu turut memanfaatkan
kesempatan lebih 45 minit dalam membuktikan sentuhannya lebih berbisa di
kalangan tonggak depan senior lain seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra
Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.
"Saya masih cuba bersaing
merebut tempat dan sukar memastikan sama ada boleh mencapai tahap antarabangsa
setelah kali terakhir bermain pada Sukan Perpaduan Islam di Jeddah 2005,"
katanya.
Lima lagi gol dijaring oleh
Chun Keng Hong, Azi Shahril Azmi, Akmal, Hardi Jaafar dan Aidil Zafuan Radzak
ketika ramai tonggak skuad Piala Antara Benua, minggu lalu seperti Safee Sali,
Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah dan Khyril Muhymeen Zambri direhatkan bagi
memberi peluang kepada kebanyakan tonggak senior.
Antara mereka ialah penjaga gol
Helmi Eliza Elias, bek kiri - Irwan Fadly Idrus, P. Gunalan, bek kanan -
Juzaili Samion, sayap kanan - Eddy Helmi Manan dan K. Soley yang belum pernah
beraksi di bawah bimbingan Sathianathan yang mula menerajui skuad negara sejak
Ogos 2007.
Turut menonjol semalam ialah
penjaga gol gantian, Badrul Zaman Halim dari kelab Liga Perdana, PKNS yang
mungkin mampu mencipta kejutan untuk disenaraikan ke skuad negara kali pertama
ketika bersaing dengan Helmi dan pemain Shahzan Muda, Farizal Marlias.
Sathianathan bagaimanapun
beranggapan bahawa barisan negara masih kurang agresif menjelang menentang
Indonesia apatah lagi ketandusan lawan yang benar-benar mampu menguji anak
buahnya sama ada di peringkat Liga Malaysia mahupun luar negara selain Polis.
"Saya masih cuba mencari
satu lagi perlawanan selewat-lewatnya 3 Jun ini," katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWnvp357
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan