ARKIB : 29/07/2008
29/07/2008 10:59pm
SHAH ALAM - Kelab terkemuka
England, Chelsea seperti dijangka mudah meratah skuad kebangsaan selepas menang
2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.
Walaupun menerima sedikit
tentangan daripada anak-anak buah B. Sathianathan, The Blues bijak mengambil
kesempatan daripada gerakan tidak menjadi dan kerap kehilangan bola yang
dilakukan pemain Malaysia untuk menjaringkan gol menerusi Nicolas Anelka (m-28)
dan Ashley Cole (m-53).
Malaysia bagaimanapun tidak
menyerah begitu sahaja sebaliknya tetap mampu melakukan beberapa gerakan
merbahaya namun sayangnya tidak pula menepati sasaran.
Babak pertama corak permainan
bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan masih berhati-hati dalam
mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing.
Namun gerakan yang diatur
Chelsea tampak lebih kemas dan merbahaya dan hanya mampu membuka jaringan
sebaik kawalan Malaysia mula longgar dan kerap kehilangan bola ketika
menyerang.
Gol pertama misalnya berpunca
daripada satu serangan balas pantas selepas hantaran Mohd. Hardi Jaafar berjaya
dirampas Joe Cole yang pantas melarikan bola dari bawah dan melorongkan kepada
Anelka yang berada dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan menewaskan
Helmi Eliza Elias.
Pemain tengah muda negara,
Amirulhadi Zainal hampir mencatat nama selaku penjaring tetapi sepakan leretnya
dari luar kotak penalti pada minit ke-38 sedikit tersasar walaupun penjaga gol
Chelsea, Petr Cech sudah pun tertewas.
Itu sahaja peluang terbaik yang
Malaysia peroleh sebelum rehat. Tetapi saingan babak kedua bertambah rancak
apabila pemain negara mula bermain lebih pantas ketika pemain-pemain Chelsea
makin tampak keletihan.
Begitu pun tanpa menurunkan
Michael Ballack dalam kesebelasan utama, Chelsea menerusi satu gerakan menarik
dari sebelah kanan gawang Malaysia masih tidak mampu dihalang untuk
menjaringkan gol kedua.
Hasil gandingan tiga pemain
sahaja telah memberi ruang kepada Ashley Cole untuk merembat menewaskan sekali
lagi Helmi yang terpinga-pinga di depan gawang.
Selepas jaringan itu
menyaksikan Malaysia menggandakan asakan dan hampir merapatkan kedudukan
apabila Zaquan Adha Razak hanya berdepan dengan Cech tetapi gagal meloloskan
diri daripada halangan pada minit ke-65.
Biar pun berusaha keras mencari
gol selepas itu, pemain negara mendapati sukar untuk menembusi gawang Chelsea
sehingga tamat permainan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz4zog9Pbm9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan