Jumaat, 3 November 2017

Kita sudah terlalu lama di tangga corot – Azzuddin



 
ARKIB : 03/02/2008
AZZUDDIN AHMAD.

MUKADIMAH
LANGKAH Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan bantuan FIFA bagi mengatasi kemerosotan skuad negara di peringkat antarabangsa menimbulkan satu persoalan besar.

Mengapa selepas hampir tiga dekad bola sepak negara melalui pencapaian terburuk dan detik memalukan tanpa apa-apa kejayaan besar, baru sekarang FAM hendak mendapatkan bantuan FIFA?

Pelik tetapi itulah bola sepak kerana sebagai sukan nombor satu dan paling popular di dunia, FAM masih perlu terus membangunkannya walaupun menerima kritikan dan cacian yang melata.

Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. TAUFEK RAZAK mendapatkan penjelasan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berhubung usaha terbarunya itu demi mahu melonjakkan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi.

MM: Langkah FAM mendapatkan bantuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai usaha untuk membawa Malaysia keluar dari zaman kemerosotan menerima maklum balas yang baik daripada peminat bola sepak tempatan. Boleh Datuk jelaskan bentuk bantuan yang macam mana boleh diberikan FIFA?

Sudah empat bulan saya berada di FAM sebagai setiausaha agung dan dalam tempoh itulah saya mula mengesan kelemahan yang ada.

Hasil daripada pengamatan sendiri, timbul idea untuk mendapatkan bantuan FIFA. Ini saya buat semata-mata untuk melihat bola sepak negara keluar daripada kepompong kemerosotan. Secara prinsipnya, FIFA telah menyatakan persetujuan untuk membantu kita. Buat permulaan, pasukan dari FIFA itu bakal memberi tumpuan menilai format pertandingan yang digunakan sekarang.

Selepas itu mereka akan turun ke kelab dan negeri untuk menilai pengurusan dan program pembangunan yang dijalankan. Ini mungkin mengambil masa satu hingga dua bulan untuk melakukannya.

Apa relevannya kita meminta bantuan FIFA ketika ini?

Malaysia sudah terlalu lama berada pada ranking corot di peringkat antarabangsa. Malah, kita juga sudah lama cuba membangunkan bola sepak menerusi pelbagai usaha dan cara. Namun begitu, tidak ada badan bebas yang menilai sama ada usaha kita itu berada di landasan betul atau tidak atau adakah ia mencapai objektif dan hala tuju yang kita mahu? Jadi FIFA adalah badan induk yang paling tepat untuk kita rujuk kerana mereka mempunyai ramai pakar. Ini bukan satu tindakan ke belakang. Kita tidak perlu malu untuk belajar kerana Malaysia kini berada pada ranking 166 dunia.

Mengapa FAM mengambil masa terlalu lama baru terfikir hendak minta bantuan FIFA?

Saya tidak berhak untuk komen kerja yang dilakukan pengurusan FAM sebelum ini. Tetapi apabila saya ambil alih jawatan setiausaha agung, inilah idea pertama yang saya dapat. Bagaimanapun ia hanyalah cadangan saya kerana kedatangan pasukan penilai FIFA ini masih perlu mendapat kelulusan Exco FAM terlebih dulu. Exco akan bermesyuarat Isnin ini (esok) untuk menerima cadangan saya itu atau pun tidak.

Ramai yang melihat tindakan FAM meminta bantuan FIFA ini seperti FAM sudah putus asa dan kehabisan idea. Apa komen Datuk?

Saya tidak setuju dengan tanggapan itu. Kami bukan ketandusan idea atau putus asa sebaliknya cadangan meminta bantuan FIFA ini membuktikan FAM masih mempunyai idea dan tidak putus asa dalam memajukan bola sepak negara. Kami masih cuba bergerak seiring dengan kemajuan bola sepak dunia. Lagi pun bukan semua hasil penilaian pasukan FIFA itu nanti akan kami ambil. FAM tidak akan terimanya bulat-bulat sebaliknya akan menyesuaikannya dengan kemampuan dan keperluan mengikut acuan dan sumber kewangan kami. FAM juga akan mendapatkan maklum balas daripada ahli gabungan lain mengenai hasil penilaian itu sebelum melaksanakannya.

Datuk juga mengetahui Malaysia memiliki program pembangunan remaja dan jurulatih yang terbaik di Asia. Adakah dengan meminta bantuan FIFA ini, imej itu akan tercalar?

Saya tidak berasa begitu. Pada saya, kalau kita sudah menjadi terbaik kita tidak perlu berhenti berusaha untuk terus menjadi lebih baik. Imej FAM tidak akan tercalar hanya kerana mendapatkan bantuan daripada FIFA. Memajukan bola sepak negara adalah proses yang berterusan dan tidak ada kaitan dengan mencemar imej bola sepak kita.

Untuk menjadi terbaik, kita tidak boleh berhenti daripada mencapai tahap kecemerlangan. Tidak ada garisan penamat jika mahu menyaksikan bola sepak kita berjaya. Seperkara yang ingin saya tegaskan, satu lagi kesilapan kita ialah kita terlalu bermegah dengan kejayaan lampau sehingga menyekat usaha kita untuk maju ke depan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4xPo6nd4b
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan