Rabu, 29 November 2017

Kit Kong calon utama


 

ARKIB : 09/08/2008
Liew Kit Kong (kanan) ketika beraksi dalam Piala Malaysia untuk Melaka.

KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menjadi calon utama untuk memenangi anugerah Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM bulan depan selepas menerima undian tertinggi setakat ini.

Kecemerlangan Kit Kong menjaringkan 29 gol buat Kuala Muda Naza dalam Liga Perdana membolehkan pemain itu menerima undian tertinggi daripada peminat bola sepak negara dengan 52 peratus, yang dilakukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kit Kong, yang menyerlah ketika menyarung jersi kebangsaan pada Kejohanan Bola Sepak Asean 2004, mengatasi penyerang Selangor, Mohd. Safee Sali dengan 27 peratus undian.

Penyerang muda Negeri Sembilan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak pula menjadi pilihan ketiga peminat dengan 21 peratus.

"Saya gembira kerana peminat memberi perhatian kepada saya walaupun bermain di divisyen rendah (Liga Perdana).

"Bagaimanapun saya berharap menerusi anugerah ini dan kalau saya memenanginya, ia dapat membantu saya kembali mendapat tempat dalam skuad kebangsaan,'' kata Kit Kong di sini semalam.

Sementara itu penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Alias menjadi calon utama memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik dengan jauh meninggalkan pencabar lain selepas meraih 86 peratus undian.

Penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee di tempat kedua dengan 8 peratus, diikuti Mohd. Nasril Nourdin dari Perak (6).

Kedah mendominasi pencalonan Pemain Pertahanan dan Tengah Terbaik menerusi ketua pasukan, Victor Andrag dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, yang masing-masing menerima 75 dan 72 peratus.

Penyerang kontroversi negeri itu, Marlon Alex James mengetuai pencalonan Pemain Import Terbaik dengan 70 peratus undian, manakala pemain muda mereka, Fadly Baharom mendahului Pemain Paling Menyinar (79).

Jurulatih Kedah, Mohd. Azrai Khor Abdullah, yang menerajui skuad Kenari merangkul tiga kejuaraan musim lalu - Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA menjadi pilihan peminat untuk menerima anugerah Jurulatih Terbaik dengan 88 peratus undian.

Pemain yang menerima undian keseluruhan tertinggi akan memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai, manakala dua lagi anugerah - Kelab Peminat Terbaik dan Persatuan Bola Sepak Terbaik akan diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zt75vTE6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan