ARKIB : 21/07/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia hanya
berpuas hati dengan menduduki tempat ketiga Kejohanan Remaja Bawah 16 Tahun
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) setelah menewaskan Singapura 3-0 di Stadium
Lebak Bulus, Jakarta, Indonesia, kelmarin.
Kejayaan pada perlawanan
penentuan tempat ketiga itu menjadi penawar buat anak didik Lim Kim Chon yang
kecewa untuk ke perlawanan akhir kerana dipintas Bahrain yang mengikat mereka
1-1 dengan jaringan minit terakhir oleh Salman Ahmed Aldakheel, Khamis lalu.
Kelmarin, skuad remaja negara
yang bakal ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 17 Tahun Asia di Uzbekistan,
Oktober ini secara automatik atas kesalahan Korea Utara, beroleh gol menerusi
D. Saarvindran (minit ke-29), Sabri Sahar (64) dan Iffi Afinaz Ismail (80).
Umpanan terus Iffi disudahi
tepat oleh Saarvindran dari jarak dekat manakala Sabri merembat voli masuk
selepas mendada lintangan Muhammad Aminuddin Samki untuk gol kedua dan Iffi
menyudahkan rembatan jauh bagi melengkapkan kemenangan Malaysia.
Bagaimanapun kata Kim Chon yang
membuat perubahan pada jentera serangan khususnya tanpa Gary Robert Robbat
dalam kesebelasan utama: "Gol ini tidak begitu penting sebaliknya
persembahan pasukan yang baik dan kerja keras mereka yang membanggakan saya.
"Selepas ini, saya mungkin
membuat perubahan pasukan iaitu kira-kira 40 peratus," katanya sebagai
persediaan berikutnya ke pusingan akhir Kejohanan Asia yang meletakkan Malaysia
ke Kumpulan D dengan Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.
Australia menjuarai Kejohanan
AFF ini dengan menewaskan Bahrain menerusi penentuan penalti 5-4 selepas
terikat 1-1 termasuk dalam masa tambahan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zmIg89mN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan