Rabu, 29 November 2017

Ramuan Malaysia menjadi - Formula Sathia sekurang-kurangnya kekang Chelsea kenduri gol

ARKIB : 30/07/2008
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
dan SAYED HESHAM IDRIS
 
tonggak chelsea, Frank Lampard (tengah) diasak oleh dua pemain Malaysia, Hairuddin Omar (kiri) dan Mohd. Fauzie Nan (terjatuh) pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. – REUTERS

SHAH ALAM – Kelab terkemuka England, Chelsea seperti dijangka mudah menjinakkan skuad kebangsaan selepas menang 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Walaupun menerima sedikit tentangan daripada anak-anak buah B. Sathianathan, The Blues bijak mengambil kesempatan daripada gerakan tidak menjadi dan kerap kehilangan bola yang dilakukan pemain Malaysia untuk menjaringkan gol menerusi Nicolas Anelka (m-28) dan Ashley Cole (m-53).

Malaysia bagaimanapun tidak menyerah begitu sahaja, sebaliknya tetap mampu melakukan beberapa gerakan merbahaya, namun sayangnya tidak pula menepati sasaran.

Babak pertama corak permainan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan masih berhati-hati dalam mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing.

Namun, gerakan daripada Chelsea tampak lebih kemas dan berbahaya yang hanya mampu membuka jaringan sebaik kawalan Malaysia mula longgar dan kerap kehilangan bola ketika menyerang.

Gol pertama misalnya berpunca daripada satu serangan balas pantas selepas hantaran Mohd. Hardi Jaafar berjaya dirampas Joe Cole yang pantas melarikan bola dari bawah dan melorong kepada Anelka yang berada dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan menewaskan Helmi Eliza Elias.

Pemain tengah muda negara, Amirulhadi Zainal hampir mencatat nama selaku penjaring tetapi sepakan leretnya dari luar kotak penalti pada minit ke-38 sedikit tersasar walaupun penjaga gol Chelsea, Petr Cech sudah pun tertewas.

Itu sahaja peluang terbaik yang Malaysia peroleh sebelum rehat. Namun, saingan babak kedua bertambah rancak apabila pemain negara mula bermain lebih pantas ketika pemain-pemain Chelsea makin tampak keletihan.

Begitu pun tanpa menurunkan Michael Ballack dalam kesebelasan utama, Chelsea menerusi satu gerakan menarik dari sebelah kanan gawang Malaysia masih tidak mampu dihalang untuk menjaringkan gol kedua.

Hasil gandingan tiga pemain sahaja telah memberi ruang kepada Ashley Cole untuk merembat menewaskan sekali lagi Helmi yang terpinga-pinga di depan gawang.

Selepas jaringan itu menyaksikan Malaysia menggandakan asakan dan hampir merapatkan kedudukan apabila Zaquan Adha Razak hanya berdepan dengan Cech tetapi gagal meloloskan diri daripada halangan pada minit ke-65.

Biar pun berusaha keras mencari gol selepas itu, pemain negara mendapati sukar untuk menembusi gawang Chelsea sehingga tamat permainan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zohyqQ9B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan