Sabtu, 25 November 2017

Azzuddin tolak 'halalkan' judi

ARKIB : 29/04/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad menolak keras cadangan jurulatih Perak, Steve Darby untuk membenarkan pertaruhan bola sepak mengikut undang-undang demi mencegah gejala mengatur keputusan perlawanan.

Tegasnya, 'menghalalkan' pertaruhan bola sepak bukan satu jaminan yang mampu mengelakkan rasuah bola sepak malah tidak akan sejajar dengan pendirian kerajaan apatah lagi imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia.

"Bookie haram yang mendekati dan mempengaruhi pemain menjual perlawanan masih wujud dan berlaku biarpun beberapa negara seperti United Kingdom dan Singapura sudah pun membenarkan pertaruhan bola sepak.

"Saya yakin Malaysia masih berada di tahap yang tidak memerlukan sebarang pertaruhan bola sepak yang sah menurut undang-undang. Saya masih percaya, itu bukan pendekatan yang berkesan mencegah rasuah bola sepak," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Darby menurut laporan agensi berita asing kelmarin, berkata, keuntungan daripada pertaruhan bola sepak yang sah, mampu dilaburkan semula demi membangunkan sukan nombor satu Malaysia ini dari segi penyediaan kemudahan latihan yang lebih baik.

Kenyataan jurulatih skuad Seladang itu tiba ekoran pengakuannya yang kerap mengutus surat kepada FAM bagi memberikan amaran mengenai kemungkinan berulangnya gejala mengatur perlawanan seperti 1994 dan 1995 selepas beberapa pemainnya memberitahu mereka cuba didekati bookie.

Khamis lalu, lima pemain Sarawak disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) manakala seorang bekas pemainnya ditahan reman kerana disyaki terbabit melakukannya dalam perlawanan Liga Super sementara sembilan pemain Polis dipanggil memberikan keterangan kepada pengurusan pasukan ekoran persembahan buruk mereka.

Mengenai hasil pertaruhan bola sepak bagi membangunkan bola sepak, kata Azzuddin, banyak lagi sumber kewangan yang mampu dicari dan dijana dalam menjayakannya apatah lagi menerusi pembiayaan kerajaan dan sokongan penaja seperti sekarang.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zRJmw9pW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan